Ibu didakwa siram anak kandung dengan air panas

Ibu didakwa siram anak kandung dengan air panas

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara menghabiskan data internet telefon pintar miliknya, seorang ibu sanggup menyimbah air panas kepada anak kandungnya sendiri yang berusia 13 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh berumur 37 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.56 pagi di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah, pada 27 Jun 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau dengan sebat, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian selepas berang mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik menghabiskan data internet di telefon pintar miliknya.

Tertuduh juga dikatakan sering memukul mangsa, namun perkara itu tidak dilaporkan, namun terbongkar selepas rakan remaja itu menyedari kotoran seperti kesan luka pada baju sekolah.

Rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sebelum kes dilaporkan kepada polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim memohon jaminan memandangkan tertuduh dan mangsa tinggal di rumah sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan bagi jaminan.

Mahkamah bersetuju dengan permohonanan pendakwaan dan menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN