Ibu beragama Buddha tidak mampu beri asas pendidikan agama kepada anak mualaf - MAIPs - Utusan Malaysia

Ibu beragama Buddha tidak mampu beri asas pendidikan agama kepada anak mualaf – MAIPs

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, seorang ibu beragama Buddha tidak mampu memberikan asas Pendidikan Agama Islam kepada tiga anak mualaf yang kini di bawah jagaannya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, selain Loh Siew Hong, bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy juga tidak berkemampuan mendidik ketiga-tiganya dengan baik kerana baru memeluk Islam, tiga tahun lalu.

Mohamed Haniff Khatri berhujah, Siew Hong mengamalkan ajaran agama Hindu dan Buddha manakala bekas suaminya masih belum mampu membimbing anak mereka yang berusia 12 dan 15 tahun, mengenai rukun Islam.

Menurut peguam tersebut, lelaki itu memeluk Islam pada 7 Julai 2020, sama seperti anak-anaknya.

Sehubungan tu, beliau berhujah bahawa MAIPs bertanggungjawab membimbing dan mendidik ketiga-tiga kanak-kanak mualaf itu untuk mempelajari agama Islam.

Mohamed Haniff Khatri menyatakan demikian dalam permohonan dikemukakan MAIPs untuk menjalankan tanggungjawab termasuk memberi panduan dan pendidikan asas agama Islam kepada tiga anak mualaf berkenaan.

MAIPs memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.

Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.

Mohamed Haniff Khatri selanjutnya berhujah, majlis itu mempunyai tanggungjawab statutori di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 untuk memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut dipelihara, termasuk dari segi bantuan dibenarkan syarak, yang boleh disalurkan melalui mana-mana penjaganya yang sah.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, MAIPs memohon supaya kanak-kanak itu diberikan akses untuk mempelajari kelas fardhu ain melalui wakil MAIPs di bawah pantauan ibu mereka.

“MAIPs mohon wakil-wakilnya terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki diberi keizinan oleh mahkamah untuk menjalankan kelas fardhu ain bagi tempoh dua jam sekali, setiap dua minggu untuk anak mualaf itu.

“Ini penting kerana selagi kanak-kanak itu Islam, adalah menjadi tanggungjawab setiap saat untuk MAIPs membantu mereka mempelajari Agama Islam,” katanya.

Hujah Mohamed Haniff Khatri, ibu tunggal itu juga akan dibantu untuk mempelajari perkara halal dan haram terutama membabitkan penyediaan makanan terhadap anak-anaknya.

Sementara itu, peguam J. Gunamalar yang mewakili Siew Hong berhujah, perintah hak jagaan yang diperolehi oleh Siew Hong wajar dikekalkan sementara rayuan berhubung penukaran agama ketiga-tiga kanak itu didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding itu, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz turut menemubual ketiga-tiga kanak-kanak itu dalam kamarnya sebelum mengarahkan semua pihak mengemukakan hujahan lanjut pada sesi petang.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan MAIPs menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian Siew Hong dan bekas suaminya yang mana ia turut melibatkan hak penjagaan tiga anak mereka.

Dalam petisyen perceraian itu, wanita tersebut diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berumur 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN