Dua lelaki warga asing didakwa seludup 11 imigran

Dua lelaki warga asing didakwa seludup 11 imigran

DUA lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menyeludup 11 imigran. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas kesalahan menyeludup 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua lagi yang masih hilang, bulan lalu.

Tertuduh, Sumardi, 25, dan Zulkifli, 51, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim untuk memindahkan perbicaraan kes ke Mahkamah Tinggi untuk dituduh di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-angkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengikut pertuduhan, kedua tertuduh mencapai niat bersama telah menjalankan penyeludupan 11 imigran dan dalam melakukan kesalahan tersebut telah menimbulkan risiko kematian terhadap kesemua imigran berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di kawasan perairan sempadan Malaysia-Indonesia koordinat 02’00.491 utara 102’01.221 timur dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Ogos 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 26B (C) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebelas warga Indonesia termasuk seorang wanita diselamatkan selepas ditemui terapung di laut berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia apabila bot dinaiki mereka karam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua mangsa diselamatkan kakitangan Feri Indomal Kingdom yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Katanya, kesemua mangsa berusia antara 24 hingga 51 tahun itu kemudiannya diberikan rawatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN