Dua lelaki Rohingya didakwa rogol pelajar sekolah

Dua lelaki Rohingya didakwa rogol pelajar sekolah

MOHAMAD Osman Boshor dan seorang remaja berusia 14 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan merogol, melakukan serangan seksual serta mencabul seorang pelajar sekolah dalam sebuah kereta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki warga Rohingya didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merogol, melakukan serangan seksual serta mencabul seorang pelajar sekolah dalam sebuah kereta.

Tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 27, bersama seorang remaja berusia 14 tahun mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Osman didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 7 bulan kira-kira pukul 5.30 petang dalam sebuah kereta jenis Proton Preve di kawasan lapang di Pantai Klebang dalam daerah Melaka Tengah, pada 14 September 2023.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan serangan seksual terhadap mangsa sama pada masa, lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan manakala peguam Omar Zulkarnain merayu jaminan dibenarkan dan bersetuju dengan syarat tambahan dikenakan.

Hakim Mohd. Sabri membenarkan jaminan RM20,000 dan memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan keluarga mangsa, selain menetapkan 31 Oktober depan untuk serahan laporan kimia dan perubatan penuh mangsa.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki warga Rohingya yang baru dikenalinya di Klebang, minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 15 September lalu yang dibuat abang mangsa di Balai Polis Batang Tiga.

Dalam pada itu, bagi dua pertuduhan terhadap remaja 14 tahun pula, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada masa, lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun serta sebat dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebat.

Majistret Sharda Shienha membenarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 31 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN