3 lelaki termasuk dua beradik dituduh rogol adik ipar rakan - Utusan Malaysia

3 lelaki termasuk dua beradik dituduh rogol adik ipar rakan

TERTUDUH dalam kes rogol bergilir-gilir dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol adik ipar rakan mereka secara bergilir-gilir di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju, akhir bulan lalu.

Nik Mohammad Rahimin Mat Zaid, 33, dan adiknya Nik Khaira Hafizi, 28, manakala Mohd. Zulhilmi Zainuddin, 33, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Nik Mohammad Rahimin seorang mekanik manakala Nik Khaira dan Mohd. Zulhilmi masing-masing merupakan pekerja restoran.

Tiga sahabat itu didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 26 tahun yang merupakan adik ipar rakan mereka di antara pukul 2 pagi dan 3.30 pagi pada 30 Ogos lalu.

Pada 8 September lalu, abang ipar mangsa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan atas pertuduhan bersubahat menyebabkan adik iparnya dirogol secara bergilir-gilir oleh beberapa lelaki di tempat sama.

Bapa empat anak itu didakwa bersubahat bersama-sama rakan sejenayah yang masih bebas dengan cara memudahkan perbuatan rogol berkumpulan terhadap mangsa.

Pada prosiding hari ini, Norina melarang ketiga-tiga dibebaskan dengan jaminan dan menetapkan tarikh sebutan pada 12 Oktober untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan jaminan serta membantahnya atas alasan kes itu serius melibatkan rogol berkumpulan dan dikhuatiri tertuduh tidak akan hadir ke mahkamah jika diberikan jaminan.

“Tertuduh-tertuduh adalah rakan kepada abang ipar mangsa,” kata Noorhani ketika ditanya oleh hakim berkenaan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh memohon mereka dibenarkan ikat jamin atas alasan mempunyai tanggungan keluarga dan anak-anak yang masih kecil.

Nik Mohammad Rahimin mempunyai lima orang anak berusia di antara enam bulan dan 12 tahun manakala Mohd. Zulhilmi dan Nik Khaira Hafizi masing-masing mempunyai tiga anak.

Nik Mohammad Rahimin memberi alasan mempunyai pelbagai penyakit iaitu darah tinggi, radang paru-paru dan sakit tulang belakang.

Ketiga-tiganya turut memaklumkan mereka akan dijamin oleh isteri dan kakak ipar.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang wanita secara berkumpulan di sebuah rumah di Wangsa Maju, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa telah dirogol pada pukul 3.30 pagi oleh lima lelaki di sebuah rumah di Wangsa Maju.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang tidur di dalam bilik, tersedar apabila mulutnya ditutup dengan tangan oleh suspek yang juga dipercayai rakan kepada abang iparnya.

Hasil siasatan lanjut kemudian mendapati kejadian akibat hutang oleh abang ipar mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN