Yasin cemas, terkejut ketika rumah diserbu polis - Utusan Malaysia

Yasin cemas, terkejut ketika rumah diserbu polis

YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman dilihat cemas dan terkejut ketika serbuan pihak polis di unit kondominiumnya di Damansara, Mac lalu.

Menurut Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, reaksi Yasin itu dilihat selepas beliau dan anggota-anggota polis yang lain memperkenalkan diri sebagai polis.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, tertuduh yang sedang berdiri dilihat cemas serta terkejut (dengan kehadiran polis). Semasa serbuan hanya tertuduh seorang berada di dalam rumah itu,” kata pegawai polis itu yang merupakan saksi pendakwaan ketiga.

Bagaimanapun Darwis memberitahu, penyanyi lagu Mimpi Laila itu tetap memberikan respons dan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Beliau berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dalam perbicaraan kes dadah membabitkan penyanyi itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Yasin diwakili peguam bela, Ariff Azami Hussein.

Terdahulu ketika membaca pernyataan saksinya, Darwis berkata, dia bersama pasukan serbuan tiba di hadapan sebuah rumah di kondominium Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home kira-kira pukul 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Setibanya di unit berkenaan, saksi mendapati pintu jeriji besi hadapan dan pintu kayu utama rumah tertutup rapat dan berkunci.

“Khuatir barang kes dilupuskan saya arahkan Lans Koperal Yusri untuk mengumpil pintu jeriji besi dan kemudian mengarahkan Sarjan Allif untuk memecahkan pintu kayu utama rumah itu.

“Selepas pintu jeriji besi dan pintu kayu utama rumah berjaya dibuka, saya dan pasukan serbuan masuk ke dalam rumah. Saya kenalkan diri sebagai polis dengan menunjukan kad kuasa dan tahan seorang lelaki Melayu (selepas ini dikenali sebagai tertuduh) di hadapan pintu masuk utama dalam rumah itu,” kata Darwis.

Hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan,pihak polis menemukan plastik lutsinar bertulis ‘Diamond’ yang berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja (berat 74 gram) dan satu plastik lutsinar bertulis ‘Diamond’ yang berisi leraian daun kering disyaki ganja (berat 140 gram) yang mana berat keseluruhannya ialah seberat 214 gram.

Sementara itu, pemeriksaan di bahagian dapur yang terletak di sebelah kiri rumah itu menemukan menemui satu almari kain berwarna hitam dan di dalamnya terdapat tiga pokok dalam pasu disyaki pokok ganja.

“Turut dirampas dari dalam ruangan almari itu ialah satu botol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, satu lampu ‘grow light’, dua lampu led, dua lampu limpah dan satu alat penyiram tanaman.

“Selain itu, terdapat satu alat pengudaraan yang disambungkan ke almari kain itu. Pemeriksaan seterusnya di bilik pertama sebelah kiri rumah menemui 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dalam almari pakaian itu,” kata saksi itu.

Pegawai polis itu juga memberitahu beliau terhidu bau ganja dari bahagian dapur tersebut.

Selain itu Darwis memberitahu, pemeriksaan di ruangan balkoni rumah menemukan satu pokok dalam pasu disyaki pokok ganja manakala di atas meja di ruangan sama, pihak polis menemukan pasport milik tertuduh serta barangan peribadi lain.

Mengikut pertuduhan, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada masa, tarikh dan tempat sama, Yasin didakwa menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah yang diperolehi secara terus atau tidak langsung dan didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a)ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung 12 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya