Syarikat pembekalan babi didenda RM2,500

Syarikat pembekalan babi didenda RM2,500

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah syarikat pembekalan babi didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki 24,700 kilogram karkas babi yang tidak diperakui Jabatan Veterinar, Mei lalu.

Majistret Farah Azura Mohd. Saad menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Gergas Utama Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Chong Kean Chi, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. Mahkamah turut memerintahkan waran levi dikeluarkan sekiranya syarikat tersebut gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa memiliki 24,700 kilogram karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan yang mana melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Industri Puchong pukul 11.30 pagi pada 10 Mei lalu, mengikut Kaedah 17, Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.

Terdahulu semasa prosiding, Farah Azura menasihatkan OKS supaya memeriksa dengan teliti haiwan yang dijual selain perlu mematuhi undang-undang ditetapkan. Bagaimanapun, Chong menjawab “Saya silap dan tidak tahu”.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon hukuman berat supaya memberi pengajaran kepada OKS agar mematuhi undang-undang veterinar.

“Tanpa perakuan veterinar karkas babi akan menyebabkan berlakunya jangkitan demam babi Afrika yang boleh memberikan risiko kepada ternakan lain. Berikutan itu, ia boleh menjejaskan industri (pembekalan) babi kerana haiwan itu akan dilupuskan sekaligus memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, peguam Goh Rhen-Jeat yang mewakili syarikat itu memohon hukuman denda yang ringan atas alasan anak gumanya mengalami kerugian yang tinggi.

“Kesalahan ini tidak melibatkan keselamatan dan kesihatan orang awam, selain ini merupakan kesalahan kali pertama anak guam saya,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, penguatkuasa Veterinar yang memeriksa premis itu mendapati, terdapat karkas babi yang dibalut dengan plastik lutsinar berwarna biru yang tidak mempunyai tanda pengenalan dari rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan.

Pasukan itu kemudian meminta wakil syarikat mengemukakan dokumen bagi maksud pemilikan karkas babi, namun tidak berjaya dikemukakan. Fakta turut menyatakan, pasukan tersebut selanjutnya menyita 47 buah palet berisi karkas babi dan 100 kotak berisi karkas babi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya