Safiey Ilias lepas tanpa bebas 4 tuduhan berkaitan seksual - Utusan Malaysia

Safiey Ilias lepas tanpa bebas 4 tuduhan berkaitan seksual

SAFIEY ILIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Safiey Ilias dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini daripada empat pertuduhan seksual terhadap dua remaja lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Norhazani Hamzah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan kerana tertuduh akan didakwa semula di Johor dan Pahang.

“Kes dibatalkan. Tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu dan wang jaminan dikembalikan,” kata hakim berkenaan.

Terdahulu, Nurfadzlin berkata permohonan itu dibuat atas alasan mangsa yang juga saksi dalam kes itu masing-masing berada di dua negeri berkenaan.

“Sekiranya perbicaraan dijalankan di mahkamah ini, ia menyukarkan mangsa dalam kes itu untuk berulang alik,” katanya.

Peguam Harjeet Singh Sidhu bagaimanapun memohon usahawan itu atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 29, dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

Peguam berkata, kes terhadap anak guamnya sudah tergantung agak lama dan dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Putrajaya ke Ampang, tahun lalu.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sesi penghujahan kedua-dua pihak berkaitan bantahan awal pihak pembelaan terhadap dua daripada empat pertuduhan yang disifatkan cacat dan mengandungi butiran tidak lengkap.

Harjeet turut memberitahu wakil media bahawa pihaknya bersedia untuk berhujah dalam permohonan tersebut.

Pada 24 Julai lalu, Harjeet mengemukakan bantahan awal secara lisan terhadap kedua-dua pertuduhan atas alasan pertuduhan itu cacat kerana tidak menyertakan butiran khusus yang menjadi asas pertuduhan yang dihadapinya.

Peguam menyatakan, dua daripada empat pertuduhan itu cacat kerana tidak menjelaskan butir-butir komunikasi seksual yang didakwa berlaku antara tertuduh dengan kedua-dua remaja berkenaan.

Hujah beliau, ketiadaan butiran khusus tersebut menyukarkan pihaknya menyoal balas saksi-saksi dan menyediakan pembelaan kelak kerana perkataan yang digunakan hanya secara am.

Safiey didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual melalui platform Instagram dengan dua remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.

Usahawan kosmetik itu yang popular dengar lagu ‘Syinta Gila’ turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual.

Safiey Ilias didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, pukul 9 pagi pada 9 Jun 2021.

Pada 15 Ogos 2022, Safiey Ilias hadir di mahkamah yang sama bagi sebutan kes atas dua pertuduhan melibatkan perlakuan berunsur seksual terhadap seorang pelajar lelaki melalui laman Instagram.

Safiey Ilias hadir di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob selepas kesnya dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Putrajaya ke Ampang.

Bagi tuduhan komunikasi seksual, Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun.

Bagi kesalahan amang seksual, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes itu mendapat perhatian umum ekoran laporan polis dibuat oleh seorang pensyarah sebuah pusat pengajian tinggi pada 9 Jun 2021 selepas beliau bimbangkan aksi lucah yang dipamerkan oleh usahawan kosmetik itu.

Safiey Ilias yang menggunakan akaun Instagram, ‘safieyilias94’, turut mempertontonkan cara menghisap vape atau rokok elektronik kepada remaja terbabit ketika sesi sidang video tersebut.

Laporan itu dibuat bertujuan menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan terhadap usahawan kontroversi itu yang menggunakan saluran Instagram Live miliknya sebagai platform untuk melakukan antunan seksual (sexual grooming) ke atas pengguna media sosial remaja.

Sehari kemudian, usahawan kosmetik tersebut ditahan dan selanjutnya direman selama tiga hari sehingga 13 Jun 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya