Pinda laporan audit 1MDB: Pendakwaan masih belum fail petisyen rayuan - Utusan Malaysia

Pinda laporan audit 1MDB: Pendakwaan masih belum fail petisyen rayuan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan masih belum memfailkan petisyen rayuan berhubung keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada tuduhan meminda laporan akhir audit syarikat itu.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 12 September ini untuk sebutan rayuan itu.

Pada tarikh tersebut, Najib dan Arul Kanda perlu hadir.

Mengikut Seksyen 307 Kanun Prosedur Jenayah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah perlu memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan itu dibuat.

Selepas itu, pihak yang ingin merayu perlu memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 10 hari selepas mendapat segala rekod rayuan daripada mahkamah bicara.

Namun, pihak yang ingin merayu boleh memohon masa tambahan untuk memfailkan petisyen rayuan sekiranya perlu.

Difahamkan, notis rayuan kes itu telah difailkan pada 9 Mac lalu.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, beliau telah memberikan penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan dan tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Sementara itu, bagi Arul Kanda, hakim mendapati beliau telah memberikan keterangan secara konsisten sepanjang perbicaraan dan ia serasi dengan keterangan yang dikemukakan dan keterangan saksi lain.

Najib sebelum ini didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN