Pengarah Hydroshoppe kekal dibicara atas tuduhan tawar suapan berjumlah RM7.5 juta - Utusan Malaysia

Pengarah Hydroshoppe kekal dibicara atas tuduhan tawar suapan berjumlah RM7.5 juta

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah syarikat dagangan am kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menawarkan suapan berjumlah RM7.5 juta berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dituduh menawarkan suapan RM500,000 setahun untuk tempoh 15 tahun itu yang didakwa bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Suzana Hussin menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Abdul Hamid Shaikh, 49, untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah kemudian meminta kepastian daripada pihak pendakwaan sama ada proses penyerahan dokumen sudah diselesaikan sebelum perbicaraan bermula.

“Oleh kerana kes masih di peringkat pengurusan kes, adakah proses penyerahan dokumen masih belum selesai?” Soal Suzana.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat berkata, pihaknya sudah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes dan memohon satu tarikh baharu untuk penyerahkan dokumen selanjutnya.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh mengesahkan sudah menerima dokumen tersebut dan memaklumkan anak guamnya berhasrat untuk memohon mendapatkan pelepasan sementara pasportnya.

Jelas Amer Hamzah, anak guamnya memohon mendapatkan sementara pasportnya untuk menghantar anak beliau melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) dan urusan perniagaan di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, beliau perlu berada di UK pada 12 September ini manakala urusan kerja di AS pada 1 Oktober.

“Sekiranya permohonan untuk mendapatkan pasport beliau dibenarkan, saya mohon kehadiran anak guam saya dikecualikan pada tarikh sebutan seterusnya,” kata peguam.

Mahadi tidak membantah permohonan tersebut namun memohon mahkamah mengarahkan tertuduh memfailkan permohanan rasmi dengan mengambil kira faktor tertuduh akan berada di luar negara dalam tempoh yang lama.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan tertuduh memfailkan permohonan rasmi berkaitan pasport dan menetapkan 12 September ini untuk sebutan kes.

Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan melalui Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya