Penganggur didakwa pukul jiran guna kunci stereng

Penganggur didakwa pukul jiran guna kunci stereng

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memukul jirannya hingga parah menggunakan batang pengunci stereng kereta. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul jirannya dengan batang pengunci stereng kereta hingga parah, minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Baba, 53, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Zulhelmi Md. Yusof, 42, dengan menggunakan batang pengunci stereng kereta sepanjang 54 sentimeter (cm) yang mana senjata tersebut jika digunakan dengan salah boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.22 petang di sebuah rumah bernombor di Jalan Kesidang 2/17, Lorong Pandan dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Ogos 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana berjiran dengan mangsa dan memohon tarikh baru untuk serahan laporan perubatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan sebaliknya mempertahankan tindakannya dengan alasan nyawanya turut diancam mangsa.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya