Pembinaan Masjid Tuminah Hamidi tergendala, Yayasan Akalbudi disiasat SPRM - Utusan Malaysia

Pembinaan Masjid Tuminah Hamidi tergendala, Yayasan Akalbudi disiasat SPRM

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus projek memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pembinaan Masjid Tuminah Hamidi yang menelan kos RM43.7 juta di Bagan Datuk, Perak tergendala beberapa bulan ekoran Yayasan Akalbudi disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ramli Ghani, 56, berkata, kesan siasatan yang dilakukan sekitar pertengahan 2018 menyebabkan pihak syarikat kontraktor, Noble Energy Construction Sdn. Bhd. tidak menerima bayaran selama tiga bulan.

“Sumber pembayaran masjid adalah daripada Yayasan Akalbudi yang mana akaunnya disita oleh pihak SPRM,” katanya ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yayasan itu.

Menurut saksi pembelaan kesembilan, kerja-kerja pembinaan kemudian diteruskan semula pada awal 2019 selepas syarikat kontraktor itu mendapat kelulusan pembayaran daripada Yayasan Al Falah, sekitar lima bulan kemudian.

Jelas Ramli, pembinaan masjid itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Akalbudi (diasaskan oleh Ahmad Zahid) melalui Yayasan Al Falah dan dimulakan pada 12 Jun 2017 manakala upacara pecah tanah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Saksi berkata, masjid itu siap sepenuhnya pada April lalu dan digunakan ketika sambutan Ramadan tahun ini.

Ramli menyatakan, kompleks Masjid Tuminah Hamidi itu menelan kos sebanyak RM38 juta sebelum proses perubahan kerja (Variation Order) melalui tambahan kos sekitar RM5.7 juta.

Saksi turut menyatakan, Ahmad Zahid kerap datang melawat kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan sebulan atau dua bulan sekali bagi memantau perkembangan pembinaannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung dengan mendengar keterangan Pengerusi Masjid Al Aula, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Mohd. Sani Chik.

Saksi pembelaan ke-10, pembinaan masjid itu adalah hasil sumbangan sepenuhnya Timbalan Perdana Menteri dan siap pada 2004.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya