Pegawai penyiasat nafi `gelapkan' fakta sebenar kes Guan Eng

Pegawai penyiasat nafi `gelapkan’ fakta sebenar kes Guan Eng

LIM Guan Eng berjalan ke lobi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini beliau ‘menggelapkan’ fakta sebenar dalam siasatan kes terowong dasar laut bagi membolehkan Lim Guan Eng didakwa atas pertuduhan rasuah.

Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof menafikan beliau diberi arahan secara spesifik untuk menyembunyikan fakta berkaitan `Coklat RM2 juta’ dan `Big Boss’ bertujuan `mengenakan’ bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan mendakwanya di mahkamah.

Maklumat itu terkandung dalam laporan forensik perbualan WhatsApp di antara dua ahli peniagaan, G. Gnanaraja dan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli. Zarul Ahmad ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Saksi pendakwaan kelapan (SP8) itu tidak bersetuju bahawa laporan berkenaan yang disediakannya berkaitan kes Guan Eng, adalah tidak lengkap. Wan Mohd. Firdaus sedang memberi keterangan pada perbicaraan kes Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, perbualan WhatsApp bertarikh 21 Julai dan 18 Ogos 2017 itu mengandungi text pesanan daripada Gnanaraja kepada Zarul Ahmad yang antara lain menyebut pemberian `Coklat RM2 juta’ untuk `Big Boss’.

Pihak pembelaan berpendirian, `Coklat RM2 juta’ itu merujuk kepada wang untuk `Big Boss’ iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ketika itu, bukan Guan Eng. Perbualan yang berlangsung pada pagi 23 Julai 2017 itu antara lain menyebut Gnanaraja memberitahu Zarul Ahmad berkaitan upacara memotong kek sempena sambutan harijadi bersama `Big Boss’ pada sebelah malamnya.

Gobind: Pesanan WhatsApp menyebut tarikh 23 Julai 2017, Encik Wan tahu tarikh lahir siapa?
Firdaus: Tidak.

Gobind: Saya cadangkan tarikh itu tarikh lahir Datuk Seri Najib, bukan Guan Eng?
Firdaus: Tidak tahu.

Gobind: Laporan yang lengkap jelas menyatakan penama adalah Datuk Seri Najib, namun berlaku penipuan yang membawa kepada pertuduhan terhadap Guan Eng.
Firdaus: Tidak tahu.

Dalam keterangannya, Wan Mohd. Firdaus berkata, beliau menerima permohonan daripada pegawai penyiasat pada 22 November 2019 untuk memeriksa telefon bimbit Zarul Ahmad bertujuan mengekstrak kandungan perbualan WhatsApp di antaranya dan Gnanaraja.

Ujar beliau, perisian forensik yang digunakan tidak boleh mengakses kandungan perbualan secara langsung kerana telefon itu dilindungi oleh `Applock’ menyebabkan beliau terpaksa merakam gambar komunikasi pada telefon itu secara manual.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan mereka memerlukan masa yang panjang untuk menyoal balas saksi berikutnya, Ibrahim Sahari. Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan perbicaraan bersambung 18 September ini.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR. Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini. Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd. Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya