Pakar psikiatri disapina beri keterangan kes Yasin - Utusan Malaysia

Pakar psikiatri disapina beri keterangan kes Yasin

ARIFF Azami Hussein (dua dari kanan) ditemui wakil media di hadapan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas sesi pengurusan kes Muhammad Yasin Sulaiman berkaitan pertuduhan dadah. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memanggil seorang pakar psikiatri memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Hakim Faiz Dziyauddin membenarkan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian LLoyd Anthony disapina bagi membolehkan beliau hadir pada perbicaraan kelak.

Mahkamah dijadualkan mendengar perbicaraan kes Muhammad Yasin, 48, pada 28 dan 29 Ogos ini.

Pada 6 Julai lalu, mahkamah diberitahu, Muhammad Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan dadah meskipun laporan psikiatri yang dikeluarkan oleh Hospital Bahagia mengesahkan artis itu berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian yang didakwa dilakukannya.

Perkembangan pemeriksaan psikiatri penyanyi itu menunjukkan, keadaan mental tertuduh bertambah baik dan layak dibicarakan serta mampu membela diri atas pertuduhan.

Hasil pemeriksaan yang dijalani di hospital berkenaan turut menyimpulkan Muhammad Yasin mengalami bipolar disorder, (keceleruan efektif) dan Hyperthyroidism.

Terdahulu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin berkata, pihak pembelaan memohon budi bicara mahkamah agar mengeluarkan sapina kepada pakar berkenaan bagi membolehkan beliau hadir memberi keterangan.

“Tarikh bicara pada 28, 29 Ogos ini diteruskan. Kami memohon budi bicara mahkamah untuk sapina dikeluarkan terhadap saksi berkenaan,” katanya selepas sesi pengurusan kes hari ini.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.

Terdahulu, Raja Zaizul memaklumkan seramai 10 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya