‘Mungkin motif disebabkan Baby Syifaa meragam’ - Utusan Malaysia

‘Mungkin motif disebabkan Baby Syifaa meragam’

YUSERI Yussof dan penyokong yang hadir dalam sesi inkues Baby Syifaa di Kompleks Mahkamah Seremban. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bapa kepada Baby Syifaa, Yuseri Yussof, 40, memaklumkan Mahkamah Koroner di sini hari ini kemungkinan anaknya itu mati dibunuh disebabkan bayi berkenaan meragam.

Jelas saksi ke-25 itu, ini berikutan perkataan ‘bunuh’ itu disebut oleh pegawai penyiasat kes terbabit Inspektor M Thinagaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam keluarganya, Gaithri Thomas dalam sesi soal balas di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Yuseri turut menjelaskan tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes tersebut yang didapati terdapat banyak kelemahan sehingga terpaksa mendapatkan rujukan lain.

Menurutnya, dia merujuk kes tersebut kepada pakar forensik iaitu bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan.

Selain itu menurutnya, dia nekad merujuk perkara tersebut ke pihak lain disebabkan pakaian mangsa yang dipakai pada hari kejadian ditinggalkan dan paling ketara IO mengabaikan kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

“Terdapat satu kuku jari kaki tercabut yang pegawai penyiasat tak pernah beri penerangan dan garisan lurus yang dikatakan kononnya disebabkan jerutan buai. Tapi garisannya terlalu kemas. Kemudian ada di pipi dua tanda kuku dan selain bibir kebiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan peguam utama keluarganya Hafiz Norkhan berkenaan ketidakpuasan hati terhadap siasatan yang dijalankan.

Malah Yuseri menjelaskan, kesan jerutan pada leher anaknya itu juga terlalu kemas dan secara logiknya jika bayi terjerut kuat, bayi akan meronta.

“Beliau (Amidon) menyatakan tujuh ke lapan kilogram (berat bayi) terlalu ringan. Kesan terlalu kemas. Berdasarkan pengalaman beliau, polis dah boleh buka Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Atas faktor itu saya telah buat laporan. Beliau juga beritahu potensi (kesan jerutan) itu daripada wayar, kabel atau tali tapi lebih kepada kabel kerana ia kemas,” katanya.

Pada prosiding itu Yuseri turut menjelaskan kepada mahkamah yang beliau mengambil tindakan lanjut terhadap kes terbabit kerana mendapati tiada apa-apa tindakan selepas 33 hari kematian anaknya.

“Bagi saya kes ini mudah sahaja. Ibu bapa hantar anak dan anak meninggal di taska yang sepatutnya boleh didakwa. Sedangkan anak yang tersedak susu pun ibu bapa kena reman. Apa istimewanya pengasuh ini? Bila timbul banyak percanggahan yang dikeluarkan oleh IO, saya terpaksa cari rujukan lain.

Malah menurutnya, dia juga terpaksa mencari rujukan pakar forensik di Bangkok, Thailand iaitu Doktor Pornthip dan pakar tersebut turut tidak bersetuju bayi berusia setahun tiga bulan boleh terjerut buai dalam keadaan berkenaan.

Terdahulu, prosiding yang bermula pukul 10 pagi berkenaan sedikit panas apabila Yuseri tidak menjawab soalan Pegawai Pengendali, Nor Azizah Mohamad sehingga memaksa Surita campur tangan.

Surita telah meminta peguam supaya menasihati anak guamnya itu sebelum bangun menangguhkan prosiding.

Yuseri kemudian keluar dalam keadaan marah dan berlaku sedikit ketegangan antara Pegawai Pengendali dan pihak peguam bela.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 September ini untuk mendapatkan butiran saksi baharu yang akan dipanggil prosiding yang bersambung pada 8 dan 9 November ini.

Sebelum ini media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN