Menantu Muhyiddin beri jaminan pulang ke tanah air, nafi melarikan diri - Utusan Malaysia

Menantu Muhyiddin beri jaminan pulang ke tanah air, nafi melarikan diri

MUHAMMAD ADLAN BERHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan kembali ke negara ini secepat mungkin bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing.

Peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakili Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan berkata, anak guamnya bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selagi unsur ancaman dan pendakwaan terhadapnya diketepikan.

Sehubungan itu, Baljit menafikan Muhammad Adlan, 48, melarikan diri daripada pihak berkuasa sebaliknya menegaskan beliau meninggalkan negara ini secara sah selain tidak pernah ditahan oleh SPRM atau dipanggil sebelum ini bagi membantu siasatan.

“Anak guam saya tidak bersalah dan tidak wajar dibicarakan melalui tanggapan umum oleh agensi penguat kuasa. Beliau bersedia bekerjasama untuk membantu siasatan,” jelas Baljit dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui firma guaman Shukor Baljit & Partners hari ini.

Beliau mengulas kenyataan SPRM Isnin lalu yang menyatakan Muhammad Adlan dan peguam Mansoor Saat, 69, sedang dikesan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hari ini berkata, agensi itu akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Tanpa mendedahkan keberadaan mereka, Azam berkata, pihaknya akan memohon notis merah kepada Interpol supaya menyenaraikan kedua-dua individu terbabit jika masih gagal dikesan.

Laporan akhbar menyatakan, semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan negara ini masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.

Baljit selanjutnya berkata, Muhammad Adlan telah dihubungi pegawai SPRM dan menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun lalu dengan menyatakan beliau keluar negara atas urusan perniagaan dan akan kembali apabila urusannya selesai.

Menurut beliau, anak guamnya telah memberikan tarikh kembali ke tanah air namun terkesan dengan tindakan SPRM berhubung tindakan ‘memburu’ dan menuding jari terhadapnya sehingga merugikan ahli perniagaan itu.

“Sehingga kini Muhammad Adlan tidak menerima jawapan rasmi daripada SPRM,” menurut kenyataan itu lagi.

Oleh yang demikian, Baljit menafikan anak guamnya gagal dihubungi sebaliknya telah berkomunikasi dengan pegawai penyiasat kes.

Baljit selanjutnya menyatakan, surat bertarikh 3 Jun itu juga menggariskan beberapa perkara di luar kebiasaan berhubung tindakan SPRM termasuk membekukan akaun syarikat dan akaun peribadi tanpa notis selain dakwaan diancam oleh agensi itu.

Jelas peguam tersebut, anak guamnya digambarkan sebagai orang buruan melalui media, namanya diletakkan di bawah notis merah serta akan ditahan sekembalinya pulang ke tanahair.

Baljit turut menyatakan, anak guamnya difahamkan bahawa larangan perjalanan keluar negara telah dikuatkuasakan terhadapnya oleh Jabatan Imigresen.

Baljit menyatakan, anak guamnya menegaskan beliau menjadi sasaran secara tidak sah menyebabkannya terkesan dan mencemarkan reputasinya selain kewangannya terjejas.

“Secara peribadi, dia mengalami penderitaan mental dan trauma serta keluarganya juga menderita,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Baljit berkata, anak guam juga bukan seorang ahli politik dan terkejut dengan percubaan untuk menggunakannya sebagai batu loncatan bertujuan mengenakan ahli politik.

Katanya, siaran akhbar mengenainya diterbitkan menjelang pilihan raya negeri menunjukkan terdapat unsur politik.

Menurut Baljit, siaran media untuk mengesannya adalah tidak perlu dan dilihat sebagai percubaan untuk mengaibkan anak guamnya selain terkejut apabila Perdana Menteri turut mengulas mengenai isu itu yang dilihat seperti plot yang sudah dirancang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya