Mahkamah benarkan rayuan NFCorp dan empat lagi - Utusan Malaysia

Mahkamah benarkan rayuan NFCorp dan empat lagi

MOHAMAD Salleh Ismail (kiri) bersama Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kanan) hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya berikutan kes saman fitnah terhadap ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan tiga lagi terhadap Public Bank Bhd. atas kebocoran-kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk P. Ravinthran dan Datuk S. Nantha Balan sebulat suara membenarkan rayuan tersebut selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila menolak saman tersebut.

“Kami berpendapat terdapat salah nilai bukti yang serius yang mewajarkan campur tangan kami (Mahkamah Rayuan). Dalam kes ini, Hakim Mahkamah Tinggi telah membelakangkan bukti penting terutamanya keterangan yang diberikan oleh Foo pada panel Inkuiri Dalaman dan tindakan yang diambil oleh pihak bank terhadap Johari.

“Oleh itu kami membenarkan rayuan perayu atas liabiliti berkenaan,” kata Hakim Nantha ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit.

Foo atau nama penuhnya Veronica Foo merupakan Ketua Siasatan Audit Public Bank yang menyiasat mengenai kebocoran maklumat sulit manakala Johari atau Johari Mohamed merupakan bekas kerani bank di Public Bank cawangan Jinjang yang didakwa sebagai individu yang mendedahkan maklumat sulit itu kepada Naib Presiden PKR, (kini Menteri Ekonomi), Mohd. Rafizi Ramli.

Mahkamah kemudian mengarahkan Public Bank membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.

Dalam prosiding hari ini, perayu, NFCorp dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta dua anak syarikatnya iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd. diwakili peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah manakala peguam Poh Choo Hoe mewakili Public Bank selaku responden.

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan dua lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Dalam saman yang difailkan perayu terhadap bank itu pada 22 Mei 2012, mereka mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu.

Pada 22 Mei 2012, NFCorp dan empat yang lain selaku plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia) itu.

Dakwa plaintif maklumat akaun bank mereka yang dibocorkan itu digunakan oleh Naib Presiden PKR (kini Menteri Ekonomi) Mohd Rafizi Ramli untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN