Mahkamah batal rayuan peguam kanan UK wakili Najib dalam kes SRC - Utusan Malaysia

Mahkamah batal rayuan peguam kanan UK wakili Najib dalam kes SRC

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan rayuan peguam kanan yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prosiding melibatkan kes SRC International Sdn. Bhd. (SRC).

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC), pendakwa raya, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais berpuas hati bahawa permohonan Jonathan untuk diterima masuk dan bertindak mewakili bekas Perdana Menteri dalam prosiding jenayah, kini akademik.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Zabariah berkata, ini kerana rayuan dan semakan kes SRC melibatkan Najib di peringkat mahkamah tertinggi, sudah tiba ke penghujungnya.

“Tujuan permohonan adalah agar beliau diterima masuk mewakili Datuk Seri Najib, namun demikian prosiding jenayah terhadapnya sudah selesai sepenuhnya, maka notis rayuan ini dibatalkan,” jelas hakim berkenaan.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC memohon rayuan itu dibatalkan atas alasan ia kini akademik.

Ia turut disokong oleh peguam Datuk Bastian Vendargon mewakili Badan Peguam Malaysia dan Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar mewakili Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur.

Bastian berhujah bahawa permohonan Jonathan untuk diterima masuk bagi mewakili Najib merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana rayuan bekas Perdana Menteri telah selesai pada semua peringkat.

Terdahulu, mahkamah mengekalkan Hakim Nordin dan Hakim Abu Bakar menganggotai panel berkenaan selepas menolak permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk menggugurkan kedua-duanya.

Muhammad Shafee memohon kedua-dua hakim berkenaan digugurkan daripada menganggotai panel selepas berpendirian bahawa mereka telah memberi ulasan dengan menyentuh beberapa isu ketika mendengar permohonan semakan Najib.

Beliau berhujah, ulasan itu dikenalpasti melalui catatan yang diambil oleh empat peguam firma guamannya ketika prosiding semakan didengar oleh panel berlainan.

Bagaimanapun, kedua-dua hakim berkenaan menafikan membuat ulasan demikian dan mempertikaikan nota prosiding yang dicatat oleh peguam-peguam itu.

Hakim Zabariah juga menyatakan, oleh kerana nota itu hanya di pihak peguam dan bukan bersandarkan kepada rakaman transkrip prosiding mahkamah (CRT), maka ia tidak boleh disahkan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwa raya yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Ad Hoc, Datuk V. Sithambaram untuk bertindak selaku pencelah dalam rayuan Jonathan.

Panel itu berpuas hati bahawa peruntukan Seksyen 18 Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976 tidak menghalang pendakwa raya dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil bahagian dalam prosiding rayuan.

Pendakwa raya yang tidak dinamakan sebagai responden dalam rayuan Jonathan telah memfailkan pemohonan sebagai pencelah untuk dimasukkan sebagai responden keempat dalam rayuannya kerana ia merupakan satu pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi tetapi telah digugurkan secara unilateral dalam rayuan itu.

Pada 21 Julai 2022, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan Jonathan untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya selepas mendapati tidak ada keperluan untuk membawa masuk peguam itu bagi mewakili Najib dalam rayuan akhir berkenaan.

Muhammad Shafee yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan, mengemukakan alasan Jonathan mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.

Ia adalah kerana rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan pertama dibangkitkan di mahkamah.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman beliau telah ditolak Mahkamah Rayuan pada 2021.

Najib, 70, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan hukuman dan denda terhadapnya pada 23 Ogos 2022.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya