Lelaki Nigeria bunuh ketua jururawat terlepas hukuman mati

Lelaki Nigeria bunuh ketua jururawat terlepas hukuman mati

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:   Seorang lelaki warganegara Nigeria yang disabitkan membunuh ketua jururawat Hospital Serdang empat tahun lalu, terlepas  hukuman mati setelah Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun bagi  menggantikan hukuman gantung yang diputuskan terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah turut memerintahkan Alowonle Oluwajuwon Gilbert dikenakan 12 sebatan.

Memetik laporan Bernama, lelaki berusia 40 tahun itu diperintah memulakan hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 16 Mei 2019.

Hakim Vazeer ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah,  menolak rayuan Alowonle terhadap sabitan membunuh Siti Kharina Mohd. Kamarudin selepas berpuas hati sabitan itu selamat untuk dikekalkan.

Beliau berkata tiada keperluan bagi mahkamah untuk mempertimbangkan sama ada pembelaan berkanun lain digunakan untuk Alowonle kerana hakim perbicaraan telah menolak pembelaan alibinya.

Mengenai hukuman, hakim itu berkata tiada bukti yang diselindung oleh pihak pendakwaan apabila tidak memberikan keseluruhan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Third Avenue di Cyberjaya, untuk beberapa hari selepas kejadian itu, kepada pihak pembelaan.

Sekiranya rakaman itu penting untuk kes pembelaan, Alowonle sepatutnya membuat permohonan untuk mendapatkannya, kata beliau.

Hakim itu berkata, ekoran susulan pindaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah bersetuju dengan peguam Afifuddin Ahmad Hafifi bahawa hukuman mati perlu diringankan kepada hukuman penjara berdasarkan keadaan dan fakta kes.

“Kami mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 35 tahun dari tarikh tangkap dan dia juga akan dikenakan 12 sebatan,” katanya.

Pada 4 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Alowonle bersalah kerana membunuh Siti Kharina di sebuah unit kondominium Third Avenue di Cyberjaya antara 12.41 pagi pada 9 Mei dan 2.30 petang pada 15 Mei 2019 dan telah menjatuhkan hukuman mati.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Afifuddin berkata Alowonle dan arwah adalah pasangan kekasih.

Beliau berkata tiada bukti bahawa pembunuhan itu telah dirancang terlebih dahulu dan memandangkan darah perayu ditemui pada pakaiannya serta di tempat kejadian, pergaduhan secara tiba-tiba mungkin berlaku sehingga tercetus pergelutan antara anak guamnya dan si mati.

Hakim perbicaraan katanya mempunyai kuasa untuk mensabitkan lelaki itu atas pertuduhan yang lebih ringan seperti menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha berhujah bahawa hakim perbicaraan tidak perlu mempertimbangkan pembelaan berkanun lain kerana Alowonle telah memilih untuk pembelaan alibi.

Hujahnya, tiada keperluan untuk menyediakan rakaman penuh CCTV kerana tiada pergerakan di kawasan kondominium selepas kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya