Kurang dana, sekolah agama swasta ditaja Ahmad Zahid ditutup sementara - Utusan Malaysia

Kurang dana, sekolah agama swasta ditaja Ahmad Zahid ditutup sementara

AHMAD Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Melaka ditutup sementara ekoran kekurangan dana selepas Yayasan Akalbudi yang dimiliki oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas pengetuanya, Azharizan Yaacob, 47, berkata, siasatan pada 2018 itu menyebabkan akaun yayasan dibekukan dan tidak mampu menaja kos operasi bulanan sekolah agama swasta tersebut yang mempunyai kira-kira 350 pelajar.

Menurut saksi pembelaan ke-12 itu, ibu bapa serta jemaah pengelola sekolah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri sepakat menaikkan yuran pengajian bulanan kepada RM700 daripada yuran terdahulu yang dikenakan sebanyak RM500.

“Oleh sebab akaun Yayasan Akalbudi dibekukan, kami hilang sumber kewangan untuk menanggung operasi dan terpaksa melakukan usaha-usaha termasuk menaikkan yuran tahunan, mengurangkan gaji guru-guru, menutup pendingin hawa dan menggantikan dengan penggunaan kipas.

“Pelbagai cara saya lakukan untuk meneruskan operasi sekolah termasuk berhutang bagi menampung kos RM350,000 sebulan,” katanya yang kini pengetua Maahad Tahfiz Al Quran Hamidiyah di Bagan Datuk, Perak.

Azharizan berkata, pengurusan sekolah itu kemudian diambil alih oleh Kerajaan Negeri Melaka pada 20 Ogos 2020.

Saksi berkata, kos operasi sekolah tersebut ditaja dan dibiayai sepenuhnya oleh Timbalan Perdana Menteri sejak mula beroperasi pada 2012.

Jelas beliau, sepanjang pengetahuannya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu telah memperuntukkan hampir RM30 juta untuk membantu operasi sekolah tersebut, tidak termasuk kos sumbangan untuk pembinaan sekolah tersebut.

Menurut saksi, hampir setiap bulan, Ahmad Zahid mengeluarkan cek daripada Yayasan Akalbudi kepada Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di antara RM170,000 dan RM200,000.

Azharizan berkata, wang bulanan itu digunakan untuk membayar bil sekolah, gaji tenaga pengajar, makanan untuk pelajar dan juga kos-kos operasi sekolah selain bergantung kepada yuran pelajar.

“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid tidak gemar namanya didedahkan sebagai penyumbang operasi sekolah berkenaan,” kata beliau ketika membacakan pernyataan saksinya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Khamis ini.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya