Jejak wang tunjukkan dua akaun Najib terima RM2.28b - Penganalisis BNM - Utusan Malaysia

Jejak wang tunjukkan dua akaun Najib terima RM2.28b – Penganalisis BNM

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Berdasarkan 343 dokumen, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) telah menjejak aliran wang sebanyak RM2.28 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Adam Ariff Mohd. Roslan, wang RM2.28 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam empat fasa di antara 2011 hingga 2014.

“Berdasarkan dokumen perbankan dan maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat, didapati bahawa dana yang diterima oleh Najib Razak melalui dua akaun peribadinya di AmIslamic Bank adalah dana yang dikumpul oleh 1MDB dan syarikat berkait dengannya,” kata saksi itu.

Menurut penyataan saksi Adam Ariff, fasa pertama yang dinamakan sebagai Fasa Good Star yang berlaku di antara 23 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 melibatkan kemasukan wang sebanyak RM60,629,839.43 ke dalam akaun Najib.

ADAM Ariff Mohd. Roslan ketija hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RN2.28 bilion 1Malaysia Development Berhad yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI

Fasa kedua ialah Fasa Aabar-BVI membabitkan dua transaksi iaitu di antara 30 Oktober 2012 dan 20 November 2012 melibatkan wang berjumlah RM90,899,927.28 dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Fasa ketiga ialah Fasa Tanore yang mana di antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013 sebanyak RM2,081,476,926 telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Fasa terakhir ialah Fasa Opsyen Pembelian Semula (Option Buyback) melibat dua transaksi iaitu pada 23 Jun 2014 yang mana sebanyak RM4,093,500 dimasukkan ke dalam akaun Najib dan transaksi berikutnya berlaku di antara 23 Oktober 2014 dan 19 Disember 2014 membabitkan wang sebanyak RM45,837,485.70 dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN