Inspektor terlepas tuduhan suapan lindungi kes rokok seludup

Inspektor terlepas tuduhan suapan lindungi kes rokok seludup, ketum

KALVINDER Singh (kiri) berbual dengan Baljit Singh Sidhu selepas Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan menerima suapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan menerima suapan bernilai RM6,200 yang didakwa bagi melindungi kes rokok seludup dan ketum.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Kalvinder Singh, 36, selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM6,200 tanpa balasan daripada seorang lelaki dengan mengetahui dia mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Tindakan itu dilakukan di tempat kerjanya antara pukul 11.30 malam pada 8 Mac 2019 sehingga 2 pagi, 9 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh didakwa menerima suapan tersebut bagi menutup kes membabitkan daun ketum dan rokok seludup.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu.

Terdahulu, seramai 21 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 12 April 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya