Inspektor Sheila pilih polis, mahu banteras jenayah - Utusan Malaysia

Inspektor Sheila pilih polis, mahu banteras jenayah

S. Sheila Sharon hadir di Mahkamah Majistret Selayang bagi sebutan kes mengaibkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Inspektor Sheila yang tular dalam media berhubung insiden di sebuah kedai makan memberitahu, beliau tetap memilih kerjaya sebagai anggota polis meskipun layak bertugas di luar negara dalam bidang lain.

Inspektor Sheila atau nama sebenarnya S. Sheila Sharon, 35, turut membayangkan hasrat untuk kembali bertugas sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk membanteras kes jenayah.

Beliau memilih badan beruniform itu untuk berkhidmat kepada masyarakat sambil menyifatkan dirinya sebagai tegas dalam soal kerja mengikut tunjuk ajar dan latihan ketika dalam pasukan polis.

“Apabila orang menilai saya daripada tayangan video, orang anggap saya perempuan dan kurang ajar, tetapi tidak. Apa yang berlaku orang tidak lihat lagi, tak kenal maka tak cinta.

“Ada juga yang mempertikaikan saya sekarang ini cakap ‘pusing-pusing’ tetapi saya ada bukti, cakap dengan bukti,” katanya.

Sheila ditemui wakil media selepas prosiding sebutan kes mengaibkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai statusnya dengan pempengaruh Iqbal Zulkefli, Sheila berkata, tidak pasti dengan perkara berkenaan, namun mengesahkan sedang mengenalinya dengan lebih rapat.

“Apabila mengenali Iqbal, dia mula memahami saya yang sebenarnya bukan seperti tanggapan orang lain. Sekarang ini dia lebih rapat dengan saya, kita mengenal satu sama lain,” katanya lagi.

Ketika didakwa pada 26 Jun lalu, Sheila mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa dan menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk , botak dan badak sumbu”.

Bagi kesalahan mengugut, Sheila didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi seksyen menghina, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di
di sebuah kedai makan di Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini pukul 12 tengahari pada 15 Jun lalu.

Sheila turut didakwa telah menyebut berkenaan pangkat Lans Koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan penama tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat sama pukul 1.25 petang pada 15 Jun lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN