Inspektor Sheila bantah pertuduhan, dakwa tidak berasas - Utusan Malaysia

Inspektor Sheila bantah pertuduhan, dakwa tidak berasas

S. Sheila Sharon hadir di Mahkamah Majistret Selayang bagi sebutan kes mengaibkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu, Inspektor Sheila yang didakwa mengaibkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal di sebuah kedai makan, akan mengemukakan bantahan awal terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Peguam M. Manoharan yang mewakili tertuduh memaklumkan, bantahan awal itu antaranya berhubung isu perlembagaan selain pertuduhan-pertuduhan yang didakwa tidak berasas dan remeh.

“Selain itu, pihak pembelaan juga ingin mendapatkan kepastian sama ada ketiga-tiga pertuduhan ini akan dibicarakan dalam satu mahkamah atau secara berasingan.

“Saya percaya pengadu bagi satu lagi kes di hadapan majistret berlainan akan dipanggil sebagai saksi di mahkamah ini berdasarkan laporan polis yang diterima,” kata peguam itu semasa sebutan kes di hadapan Majisret Chai Guan Hock.

Turut hadir peguam-peguam P. Subramaniam dan S. Raveentharan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes.

“Pihak pendakwaan mengesahkan sebahagian dokumen telah diberikan dan hanya dokumen berkaitan rakaman video yang masih belum diserahkan,” kata Anis Farhah.

Ketika didakwa pada 26 Jun lalu, Sheila atau nama sebenarnya S. Sheila Sharon, 35, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa dan menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk , botak dan badak sumbu”.

Bagi kesalahan mengugut, Sheila didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi seksyen menghina, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di
di sebuah kedai makan di Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini pukul 12 tengahari pada 15 Jun lalu.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Beghwant Singh turut memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes.

Di mahkamah itu, tertuduh didakwa telah menyebut berkenaan pangkat Lans Koperal dengan cara tidak wajar kepada Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan penama tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat sama pukul 1.25 petang pada 15 Jun lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular seorang penjawat awam yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ dikatakan merendah-rendahkan pangkat anggota polis lain.

Sejurus kejadian tular itu, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka selain tindakan ditahan tugas dikenakan ke atas pegawai polis itu berikutan beberapa siri kekecohan yang tular di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu tersebut.

Kata beliau, dua kertas siasatan tersebut dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM.

Selain itu, beliau berkata, enam lagi kertas siasatan turut dibuka melibatkan aspek tatatertib yang dilaksanakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya