Empat rakan didakwa bunuh dua lelaki

Empat rakan didakwa bunuh dua lelaki

KESEMUA tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membunuh dua individu bulan lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dua lelaki, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Lok Kian Seng, 47; Daniel Ho Chin Cher, 33; Woon Chee Weng, 44, dan Lim Chien Voon, 41, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Stanley Chew Kok Kin, 24, dan Soo Yao Long, 26.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan Melur 2, Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 7 hingga 10 Julai 2023.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 kali sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin tidak menawarkan sebarang jaminan, sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.

Mahkamah menetapkan 12 September depan untuk serahan laporan bedah siasat dan lain-lain laporan berkaitan serta tidak membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin.

Pada 10 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, dua mayat lelaki bertatu yang dipercayai dibunuh ditemui dalam semak di Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada tatu yang terdapat pada tubuh kedua-dua si mati mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya