Crackhouse 'tidak jadi' cabar tindakan DBKL tarik balik lesen perniagaan

Crackhouse ‘tidak jadi’ cabar tindakan DBKL tarik balik lesen perniagaan

M. Pravin hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pendengaran semakan kehakiman Kelab Komedi Crackhouse untuk mencabar tindakan menarik balik lesen perniagaannya. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelab komedi Crackhouse tidak berhasrat meneruskan proses undang-undang untuk mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa menarik balik lesen perniagaan dan melarang dua pemiliknya mendaftar sebarang perniagaan di sini, seumur hidup.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh dua pemilik kelab itu Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R. Santhiram, tanpa memutuskan perintah terhadap sebarang kos.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas peguam M. Pravin memaklumkan kedua-dua anak guamnya menarik balik tindakan undang-undang tersebut. Pravin memberitahu, afidavit jawapan yang diterima daripada pihak responden menyebut bahawa Jawatankuasa Pelesenan DBKL tidak pernah mengeluarkan perintah yang menyenarai hitam kedua-duanya daripada menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur.

Menurut Pravin, DBKL hanya menarik balik lesen kelab komedi berkenaan bukan menyenarai hitam kedua-dua pemohon daripada mendaftarkan perniagaan mereka di sini.

“Sehubungan itu, kami menarik balik semakan kehakiman itu tanpa memohon perintah terhadap kos,” ujarnya.

Pada prosiding itu, peguam Khalisa Badrul Amini yang mewakili DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah selaku responden, mengesahkan perkara tersebut. Mahkamah dijadualkan mendengar merit permohonan itu hari ini. Kedua-dua pemohon mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 23 Mei lalu.

Dalam semakan kehakiman, kedua-duanya menamakan DBKL, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.

Pemohon turut menggugurkan tiga responden yang sebelum ini dinamakan dalam permohonan tersebut iaitu bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, tindakan saman itu tidak melibatkan ketiga-tiga responden kerana keputusan itu dibuat oleh datuk bandar manakala pengumumannya disiarkan melalui akhbar oleh timbalan menteri. Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 24 November 2022, mereka memohon perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa keputusan Jalaluddin dan juga kementerian yang tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup di bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.

Dalam afidavit sokongan, kedua-duanya berkata, pada 17 Ogos 2022 Jalaluddin mengeluarkan satu kenyataan bahawa Jawatankuasa Pelesenan DBKL telah membuat keputusan untuk membatalkan lesen kelab komedi itu berkuat kuasa 30 Julai 2022.

Kenyataan itu juga menyebut, pemiliknya disenaraihitamkan seumur hidup daripada mendaftarkan perniagaan mereka di ibu kota dan ini telah menjejaskan mereka selaku usahawan. Mohamad Rizal dan Shankar yang juga pengasas kelab komedi berkenaan turut mendakwa, mereka tidak pernah menerima sebarang surat atau notis rasmi daripada DBKL mengenai perkara itu.

Pada 21 Julai lalu, Mohamad Rizal didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi Facebook, tahun lalu.

Hantaran jelik itu dibuat melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022. Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya