BNM cadang 1MDB didenda RM23 juta, AG kurangkan RM15 juta - Utusan Malaysia

BNM cadang 1MDB didenda RM23 juta, AG kurangkan RM15 juta

ZETI Akhtar hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mencadangkan agar 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didenda RM23 juta selepas gagal mendapatkan semula wang yang dikatakan dilaburkan luar negara.

Ditanya sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada masa itu ada meminta pengurangan atau pembatalan denda terbabit, Zeti menyatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Bagaimanapun tambah Zeti, Peguam Negara ketika itu telah mengurangkan jumlah denda tersebut daripada RM23 juta kepada RM15 juta.

Denda itu telah dibayar sepenuhnya pada 25 Mei 2016.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali merupakan Peguam Negara di antara 27 Julai 2015 dan 4 Jun 2018.

Pada prosiding sebelum ini, Zeti memberitahu bahawa Mohamed Apandi tidak mengambil sebarang tindakan atas cadangan yang dikemukakan oleh BNM.

Cadangan yang diberikan termasuk untuk mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil; dan bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee.

Zeti berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung pembatalan kebenaran kepada 1MDB untuk memindahkan dana berjumlah AS$1.83 bilion dan mendapatkan semula wang pelaburan di luar negara.

Pada 18 Ogos 2018, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mendedahkan BNM telah mengenakan denda sebanyak RM15 juta terhadap 1MDB pada ‘waktu di mana bank pusat berkenaan dibenarkan untuk melakukannya’.

Menurut Nor Shamsiah, pada 28 April 2016, BNM telah mengeluarkan surat keterangan pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. 

Ia adalah antara tindakan akhir yang diambil Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebelum bersara sebagai Gabenor BNM.

Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya