Bercuti ketika Covid: Mahkamah batal saman fitnah Santhara - Utusan Malaysia

Bercuti ketika Covid: Mahkamah batal saman fitnah Santhara

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komen yang dibuat oleh Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran berhubung percutian bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar ke New Zealand sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang wajar.

Ini kerana isu seorang Timbalan Menteri (ketika itu) bercuti sedangkan terdapat sekatan perjalanan adalah isu awam.

“Defendan (Prabakaran) adalah seorang wakil rakyat yang mempunyai amanah untuk menyuarakan isu awam. Defendan mempertikai cuti plaintif (Santhara) selama 55 hari ke New Zealand sedangkan ia berlaku semasa sekatan pergerakan pada tempoh Covid-19.

“Pada hemat mahkamah, isu ada sekatan pergerakan dan seorang Timbalan Menteri dapat bercuti adalah isu awam. Defendan mempertikai perbuatan plaintif bukan kerana plaintif adalah Datuk Seri Dr. Santhara Kumar Ail Ramanaidu tetapi kerana plaintif adalah seorang Timbalan Menteri.

“Apatah lagi pasa masa tersebut Parlimen digantung kerana ada darurat. Justeru mahkamah mendapati tuntutan fitnah tidak boleh dipertahan,” jelas Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan.

Sehubungan itu, mahkamah menolak saman fitnah itu dengan kos sebanyak RM18,000.

Pada prosiding yang dijalankan secara Zoom, Santhara diwakili peguam N. Krishnan Nair manakala Prabakaran diwakili peguam Dinesh Muthal.

Pada 23 Jun 2021, Santhara telah memfailkan saman terhadap Prabakaran kerana didakwa telah mengeluarkan kata-kata fitnah berhubung lawatannya ke New Zealand pada 2020.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan telah mengadakan sidang akhbar di luar Suruhanjaya Tinggi New Zealand pada 17 Mac 2021 antara 9.30 pagi dan 2 petang, dengan mengeluarkan maklumat tidak benar dan palsu mengenai tanggungjawab plaintif sebagai Timbalan Menteri.

Plantif mendakwa bahawa defendan atau wakilnya telah menghantar satu memorandum kepada Pesuruhjaya Tinggi New Zealand yang mengkritik kelulusan dan kebenaran diberikan kepada plaintif untuk melawat New Zealand dan defendan juga telah menghubungi pegawai kedutaan untuk mengetahui informasi dan permohonan plaintif untuk memasuki negara itu.

Prabakaran melalui pernyataan pembelaan difailkan pada 8 September 2021 mendakwa bahawa kenyataan yang dikeluarkannya tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk mencemarkan imej atau reputasi plaintif.

Sementara itu, Prabakaran melalui kenyataan akhbarnya menzahirkan rasa syukur kerana saman fitnah tersebut ditolak oleh makamah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam bela, barisan saksi terutamanya Datuk Seri Najib Tun Razak, Senator Isaiah D. Jacob dan individu yang terlibat sama ada secara langsung mahu pun tidak dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya