Bekas pegawai JAIM didakwa tipu emolumen lebih RM154,000

Bekas pegawai JAIM didakwa tipu emolumen lebih RM154,000

TERTUDUH diiring anggota SPRM selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menipu emolumen lebih RM154,000. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menipu emolumen lebih RM154,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Anuar Mat Zin, 38, mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan empat guru sambilan tidak terlatih (GSTT) untuk mempercayai bahawa resit rasmi bagi maksud pembayaran balik emolumen imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun bantuan kos sara hidup (COLA) dan elaun kakitangan awam (EKA) kerana peletakan jawatan JAIM-KPM (Kementerian Pendidikan) membabitkan jumlah keseluruhan RM154,864.40 adalah tulen.

Kesemua kesalahan dilakukan di Pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM dalam daerah Melaka Tengah antara 8 November 2017 hingga 19 Julai 2018.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Tertuduh diwakili peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya seorang bapa tunggal kepada tiga anak yang masih bersekolah, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan, pasport diserah kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM Melaka setiap bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN