Ahmad Zahid tidak arah guna dana Yayasan Akalbudi untuk urusan peribadi - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid tidak arah guna dana Yayasan Akalbudi untuk urusan peribadi

AHMAD Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mengarahkan dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk menjelaskan pembayaran atas urusan peribadi.

Datuk Rosiah Osman, 71, yang ketika itu Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid berkata, semua pembayaran bagi bil kad kredit, cukai jalan dan insurans kenderaan menggunakan akaun peribadi Maybank.

Menurut saksi pendakwaan ketujuh, pembayaran bil kad kredit isteri Timbalan Perdana Menteri juga menggunakan akaun peribadi beliau.

Ketika menjawab soalan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Rosiah berkata, dana Yayasan Akalbudi hanya digunakan untuk membayar pembelian bagi aktiviti kebajikan dan juga sumbangan derma menggunakan cek Affin Bank.

Kelmarin Rosiah menyatakan, kad kredit peribadi Ahmad Zahid digunakan bagi mendahulukan pembelian peralatan termasuk kipas, pendingin hawa dan permaidani untuk aktiviti kebajikan termasuk sumbangan kepada masjid.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika membela diri pada 22 Mei 2022 memberitahu, baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

Pada prosiding soal balas yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Rosiah berkata beliau tidak dapat mengingati sekerap mana kad itu digunakan untuk membeli barangan sumbangan kebajikan.

Menurut Rosiah, tidak timbul kekeliruan ketika melunaskan bayaran setelah menerima penyata bank.

Mohd. Dusuki: Kenapa perlu guna kad kredit untuk beli barang sumbangan masjid, kenapa tidak bayar sahaja menggunakan cek?
Rosiah: Tak kan nak beli guna cek, kita guna kad kredit Ahmad Zahid.

Mohd Dusuki: Barang apa yang dibeli menggunakan kad kredit?
Rosiah: Contohnya permaidani, kita guna kad kredit, selepas itu barulah keluarkan cek yayasan untuk bayar balik wang Ahmad Zahid.

Mohd Dusuki: Adakah ia (kegunaan kad kredit) berlaku dalam semua keadaan atau pembelian?
Rosiah: Tak semua, hanya dalam keadaan tertentu sebab tidak semua barang sumbangan boleh dibeli melalui kad kredit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Isnin depan.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya