Ahmad Zahid tepati janji, bayar kontraktor projek pembangunan Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid tepati janji, bayar kontraktor projek pembangunan Bagan Datuk

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia projek menyifatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu yang sentiasa menepati janji dan menjelaskan setiap pembayaran kepada syarikat kontraktor yang menyiapkan projek-projek pembangunan di Bagan Datuk, Perak.

Marlin Ahmad, 50, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sikap Timbalan Perdana Menteri itu didedahkan oleh arwah abangnya, Sanusi Ahmad selaku pengasas syarikat kontraktor, Sutida Enterprise yang mengendalikan projek-projek berkenaan.

Menurut saksi pembelaan ke-13, hampir kesemua projek yang dijalankan oleh syarikat itu adalah atas arahan Ahmad Zahid dan arwah abangnya akan melaksanakannya tanpa meminta apa-apa bayaran pendahuluan.

“Dalam pengetahuan saya, setiap hasil kerja arwah abang saya yang diarahkan oleh Datuk Seri Zahid semuanya telah selesai dibayar dan arwah juga pernah memberitahu kadang-kadang Datuk Seri Zahid membayar lebih,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan Ahmad Zahid, 70, atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana Timbalan Perdana Menteri adalah pengasasnya.

Dalam keterangannya, Marlin turut menyenaraikan beberapa projek yang dilaksanakan oleh Sutida Enterprise sejak tahun 1999 dan projek terbaharu adalah pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi di Bagan Datuk.

Antara projek lain termasuk Rumah Anak Yatim Hamidiyah dengan kos RM1.14 juta, Masjid Sri Perkasa bernilai RM600,000 serta Dewan Hajah Tuminah dan Masjid Al Quro’ Bagan Datuk yang masing-masing menelan belanja RM450,000.

Saksi selanjutnya berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak gemar sumbangannya diketahui pihak lain sehinggakan setiap pembinaan yang dilaksanakan oleh Sutida Enterprise tidak pernah dibuat notis atau papan tanda bahawa ia sumbangan beliau.

Sementara itu, bekas Pengerusi Masjid Seri Perkasa turut memberi keterangan bahawa Timbalan Perdana Menteri sentiasa bersikap prihatin kepada penduduk di Bagan Datuk khususnya anak yatim dan individu susah.

Saksi pembelaan ke-14, Atan Sampol, 67, berkata, wakil rakyatnya itu seorang yang amat pemurah serta dermawan dengan hampir kesemua masjid serta surau di daerah itu adalah daripada sumbangan peribadinya.

“Kos pembinaan hampir RM600,000 adalah 100 peratus sumbangannya daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Masjid ini yang siap sepenuhnya pada 2006 dirasmikan oleh Raja Dr. Nazrin Shah (ketika itu) pada 2008,” katanya.

Atan yang merupakan ahli jawatankuasa masjid tersebut hampir 20 tahun berkata, antara sumbangan Ahmad Zahid kepada penduduk Bagan Datuk termasuk memberi hampir 200 bungkus makanan asas bagi Masjid Seri Perkasa pada bulan Ramadan dan memberi sumbangan RM100 bagi setiap 1,500 peserta tadarus Al-Quran.

Sementara itu, Pengerusi Surau An Nur Parit 25 Darat di Bagan Datuk, Mokhtar Tukol, 66, memberitahu mahkamah bahawa sepanjang mengenali Ahmad Zahid lebih 35 tahun semasa wakil rakyat itu baharu menceburi bidang politik di Bagan Datuk, beliau (Ahmad Zahid) seorang yang sangat pemurah untuk menyumbang bagi tujuan kebaikan.

“Ini kerana, beliau (Ahmad Zahid) pernah menyatakan kepada saya secara peribadi bahawa apabila beliau berkemampuan dan mempunyai peluang, sudah tentu beliau akan menyumbang sebagai saham di akhirat,” kata saksi pembelaan ke-15 itu.

Menurut Mokhtar, Ahmad Zahid antaranya memberi sumbangan bagi pembinaan serta menambah baik Surau An Nur Parit 25, memberi sumbangan RM200 kepada ibu tunggal, anak yatim, keluarga daif, orang kurang upaya di Bagan Datuk menjelang Ramadan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung 4 September ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya