KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) diminta menyegerakan keputusan representasi yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang kini didengar di Mahkamah Tinggi.
Pasukan peguam bela yang mewakili Timbalan Perdana Menteri berkata, hingga hari ini pihaknya masih belum menerima jawapan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi pertimbangan agar semua 47 pertuduhan yang dihadapinya dikaji semula.
“Kami memohon keadilan diberikan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan kos dan masa dapat dijimatkan oleh kedua-dua pihak,” kata pasukan pembelaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media selepas prosiding perbicaraan selesai hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.
Laporan media sebelum ini menyatakan, Peguam Negara akan menamatkan kontraknya bulan depan selepas dilantik semula menggalas jawatan tertinggi di AGC selama enam bulan bermula 6 Mac lalu.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) pada 1 Ogos lalu, pihak pembelaan memaklumkan representasi Ahmad Zahid masih belum diputuskan kerana AGC masih masih menunggu hasil siasatan lanjut berhubung fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memaklumkan, siasatan masih dijalankan oleh pasukan petugas khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya menunggu maklum balas sebelum memutuskan representasi berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri mengemukakan representasi melebihi 200 muka surat mengandungi isu kompleks yang dihantar terus kepada Peguam Negara sebagai asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapinya, digugurkan.
Ahmad Zahid, 70, menghadapi 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya.
Menurut kenyataan itu, pihak pembelaan memasukkan dua representasi masing-masing pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari lalu manakala percakapan Ahmad Zahid dirakam sekali lagi oleh pihak SPRM pada Jun lalu.
Kenyataan itu turut menggariskan lima alasan dalam representasi tersebut termasuk pendakwaan bersifat politik oleh Tan Sri Tommy Thomas iaitu Peguam Negara ketika itu.
Jelas kenyataan tersebut, pelantikan Peguam Negara yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menuduh Ahmad Zahid.
“Pertuduhan itu dibuat kerana keengganan anak guam kami untuk membubarkan UMNO sehingga menyebabkan beliau dituduh.
“Kecacatan siasatan yang dijalankan akibat dari tempoh siasatan yang singkat (empat bulan sahaja dari tarikh siasatan bermula) akibat dari kegopohan untuk menuduh Ahmad Zahid selain terdapat keterangan-keterangan baharu yang kukuh untuk representasi itu dikemukakan,” kata pasukan pembelaan.
Pihak peguam bela turut menjelaskan, representasi itu adalah perkara biasa dan hak mana-mana individu yang berhadapan kes jenayah.
Kenyataan itu selanjutnya menyatakan, representasi itu boleh dikemukakan pada bila-bila masa dalam mana-mana peringkat jika pihak tertuduh mempunyai asas yang kuat.
Alasan itu termasuk jika wujud kepincangan dalam pertuduhan dan jika terdapat salah guna kuasa terhadap pendakwaan, isu-isu siasatan serta, keterangan saksi-saksi.
Menurut pasukan pembelaan, pihak-pihak tertentu tidak seharusnya menggunakan fakta yang terkandung dalam representasi untuk kepentingan politik atau menakut-nakutkan orang ramai dengan memberi sangkaan buruk terhadap representasi itu.
“Kami percaya adalah amat tidak adil untuk mana-mana pihak yang cuba campur tangan dan mempolitikkan isu ini. Tambahan pula, anak guam kami adalah seorang tertuduh yang sedang menjalankan haknya untuk memasukkan representasi di peringkat ini.
“Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana yang memprejudiskan hak anak guam dalam mempraktikkan haknya terhadap representasi,” kata kenyataan itu. – UTUSAN