Ahmad Zahid cari dana siapkan masjid selepas akaun Yayasan Akalbudi dibeku SPRM - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid cari dana siapkan masjid selepas akaun Yayasan Akalbudi dibeku SPRM

AHMAD Zahid Hamidi diiringi pengikutnya tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus projek memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencari sumber kewangan bagi meneruskan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak yang tergendala hampir tujuh bulan ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Yayasan Akalbudi.

Ramli Ghani, 56, berkata, Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan untuk mendapatkan wang bagi memastikan projek pembinaan masjid yang menelan kos RM43.7 juta, berjalan lancar.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, saksi pembelaan kesembilan itu turut mengesahkan pembinaan masjid berkenaan dilaksanakan melalui ikatan kontrak yang diperakui oleh pihak guaman.

Ramli selanjutnya berkata, perjanjian pembinaan masjid itu dimeterai di antara Yayasan Al Falah dan pihak syarikat kontraktor, Noble Energy Construction Sdn. Bhd. dan disediakan oleh firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Jelas Ramli, pembinaan masjid itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Akalbudi (diasaskan oleh Ahmad Zahid) dan dimulakan pada 12 Jun 2017.

Semalam, saksi itu berkata, ekoran siasatan yang dilakukan sekitar pertengahan 2018 menyebabkan pihak syarikat kontraktor tidak menerima bayaran selama tiga bulan selepas akaun Yayasan Akalbudi dibekukan dan disita oleh SPRM.

Menurut Ramli, kerja-kerja pembinaan kemudian diteruskan semula pada awal 2019 selepas syarikat kontraktor itu mendapat kelulusan pembayaran daripada Yayasan Al Falah yang juga milik ahli keluarga Ahmad Zahid dan siap sepenuhnya pada April lalu.

Sementara itu, mahkamah turut mendengar keterangan saksi pembelaan ke-11, Kamarulzaman Sampol, 54, iaitu ketua kampung Sungai Keli, Hutan Melintang, Bagan Datuk.

Saksi berkata, Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk, dikenali sebagai pemimpin yang kerap membuat pelbagai sumbangan amal dan kebajikan kepada penduduk kawasan itu.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri pernah mengeluarkan sumbangan peribadi RM100,000 bagi membaik pulih Sekolah Agama Rakyat Sungai Keli yang telah uzur dan bangunan itu siap sepenuhnya pada 2007.

Menurut saksi lagi, antara sumbangan lain termasuk pembiayaan kos RM80,000 bagi menukar atap bumbung masjid yang bocor dan membina pagar Masjid Sungai Keli yang siap sepenuhnya pada 2008.

Selain itu, ujar Kamarulzaman berkata, Ahmad Zahid turut membina dewan makan di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin yang menelan kos RM20,000.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Khamis ini.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya