1MDB: Jasmine Loo akan dipanggil sebagai saksi - Utusan Malaysia

1MDB: Jasmine Loo akan dipanggil sebagai saksi

JASMINE LOO AI SUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan tersenarai antara saksi akhir yang akan dipanggil dalam perbicaraan penyelewengan dana syarikat itu berjumlah RM2.28 bilion.

Bagaimanapun sama ada pihak pendakwaan akan benar-benar memanggil wanita terbabit yang sebelum ini menghilangkan diri sewaktu skandal tersebut tersebar, masih belum dapat dimuktamadkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika disoal oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada prosiding perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat terbabit yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim tersebut mengutarakan soalan tersebut selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengakhiri sesi soal balasnya terhadap bekas Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz petang semalam.

Menjawab pertanyaan tersebut, Ahmad Akram memaklumkan terdapat di antara tiga ke empat orang saksi lagi yang akan dipanggil antaranya, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan; Ketua Pasukan Siasatan Khas Anti Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Superintenden Foo Wei Min, Superintenden Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Nur Aida Ariffin dan Jasmine.

Sehingga hari ini, seramai 46 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Terdahulu, Zeti mengesahkan bahawa wang hampir AS$20 juta daripada ‘Prince Faisal Turkey’ atau Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud, dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking MR milik Najib.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memastikan sama ada derma tersebut diberikan oleh orang yang sama atau tidak kerana nama yang dinyatakan dalam surat derma adalah berbeza.

Berdasarkan salinan dokumen transaksi Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia (SWIFT) yang ditunjukkan oleh Muhammad Shafee, bekas Gabenor BNM itu mengesahkan pada Februari dan Jun 2011, terdapat transaksi masing-masing membabitkan AS$9,999,977 dan AS$9,999,970 daripada putera berkenaan ke dalam akaun itu.

Pada Ogos 2011 membabitkan AS$49,999,988 daripada Kementerian Kewangan Riyadh dan satu lagi transaksi AS$29,999,988 daripada agensi kewangan Arab Saudi pada November 2011.

Menjawab pertanyaan sama ada Najib mengetahui masalah yang dihadapi 1MDB, Zeti menyatakan BNm pernah memaklumkan kepada bekas Menteri Kewangan itu sebanyak dua kali berhubung hutang syarikat terbabit yang sangat tinggi.

Namun, berdasarkan keterangan Zeti sebelum ini, BNM tidak pernah mendapat maklum balas daripada Najib.

Najib kini sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan dana penyelewengan dana 1MDB.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya