Wang RM2 juta untuk erat hubungan Zarul Ahmad dan PM, bukan untuk Guan Eng - Saksi

Wang RM2 juta untuk erat hubungan Zarul Ahmad dan PM, bukan untuk Guan Eng – Saksi

LIM Guan Eng (tengah) berbual dengan Gobind Singh Deo (kiri) dan Haijan Omar sebelum perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, RM2 juta diserahkan kepada seorang ahli peniagaan, G. Gnanaraja bertujuan mengeratkan hubungan antara seorang pengarah syarikat, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan projek pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Ibrahim Sahari, 59, berkata, wang tersebut yang diminta oleh Gnanaraja daripada Zarul Ahmad, bukan untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2019, saksi menyatakan tujuan pembayaran RM2 juta itu adalah untuk mengeratkan hubungan Zarul Ahmad dan PM bagi mendapatkan projek-projek pada masa hadapan.

Ketika ditanya oleh peguam Gobind Singh Deo pada sesi pemeriksaan balas, siapa Perdana Menteri yang dimaksudkan, saksi pendakwaan ke-29 itu berkata `Datuk Seri Najib’.

Menurut Ibrahim, Gnanaraja pada awalnya memberi tekanan kepada Zarul Ahmad dan meminta RM19 juta bahawa beliau boleh didakwa di bawah kesalahan pengubahan wang haram dan wang itu untuk menutup siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi berkata, Zarul Ahmad kemudian menyedari beliau ditipu dan membawa perkara itu kepada perhatian mesyuarat lembaga pengarah dan mereka bersetuju melantik peguam bagi menghantar notis tuntutan mendapatkan kembali wang berkenaan.

Ibrahim dan Zarul Ahmad ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Ibrahim sedang memberi keterangan pada perbicaraan kes Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta. Beliau turut memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam yang menghadapi pertuduhan menipu Zarul Ahmad sehingga mangsa menyerahkan wang RM2 juta bagi menutup siasatan SPRM.

Ketika ditanya oleh Gobind, saksi bersetuju bahawa kes Gnanaraja di Shah Alam berbeza dengan kes Guan Eng di ibu negara walaupun melibatkan wang RM2 juta yang sama. Namun demikian, Ibrahim tidak bersetuju bahawa pihak pendakwaan dalam kes Guan Eng menyembunyikan keterangan pada perbicaraan di sini.

Saksi menyatakan, meskipun dipanggil memberi keterangan dalam kedua-dua kes berkenaan, beliau tidak membangkitkan perkara itu kepada timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes Guan Eng.

Gobind: Oleh kerana keterangan di Shah Alam ada menyatakan tujuan pembayaran dan kepada siapa dibayar, namun tidak dikemukakan pada perbicaraan di sini, maka ia merupakan satu tindakan menyembunyikan keterangan.
Ibrahim: Tak setuju.

Gobind: Saya cadangkan, kamu mengetahui bahawa kes di Shah Alam tiada kaitan dengan Guan Eng dan timbalan pendakwa raya di sana juga mengetahuinya, namun tidak memaklumkann perkara itu di sini?
Ibrahim: Tidak pasti

Gobind: Tak mungkin keterangan yang sama (di Shah Alam dan di ibu negara) boleh digunakan dalam dua kes berbeza.
Ibrahim: Tak pasti.

Gobind: Kamu beri keterangan di Shah Alam bahawa wang itu untuk Gnanaraja dan kamu maklumkan tujuannya. Penting bagi mahkamah ini untuk mengetahui apa berlaku di Shah Alam.
Ibrahim: Tak pasti.

Gobind: Kes di Shah Alam tidak melibatkan Guan Eng.
Ibrahim: Ya.

Gobind: Gnanaraja memberi tekanan terhadap Zarul agar wang dibayar kepadanya untuk menutup siasatan kes pengubahan wang haram.
Ibrahim: Ya.

Gobind: Dalam keadaan itu, mustahil wang RM2 juta untuk Guan Eng?
Ibrahim: Betul.

Gobind: Kamu tahu ada karektor `Big Boss’ yang sangat penting dalam kes ini?
Ibrahim: Saya tidak tahu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Ogos ini. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Zarul Ahmad ketika itu Pengarah CZBUCG.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR. Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini. Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang emperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya