Tuntutan RM200j Anwar merepek - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Tuntutan RM200j Anwar merepek – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa surat tuntutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta adalah merepek.

Menurut surat daripada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin, ia turut menyatakan surat tuntutan Ahli Parlimen Tambun itu tidak ubah seperti menegakkan benang yang basah.

Surat tersebut adalah jawapan kepada surat tuntutan Anwar dan dihantar kepada firma guaman, Tetuan SN Nair & Partners.

“Adalah jelas anak guam anda (Anwar) telah tersilap dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda. Dokumen yang disiarkan melalui kenyataan media anak guam anda bertarikh 20 Julai lalu dan siaran media Kementerian Kewangan pada tarikh sama adalah berkenaan sukuk dan bukan tentang hutang peneroka Felda yang sememangnya telah dilupuskan pada 2021.

“Anak guam anda kini masih enggan menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan cuba memutarbelitkan perkara ini seperti menegakkan benang yang basah.

“Anda seharusnya tahu bahawa tuntutan anak guam anda untuk RM200,000,000 adalah merepek dan jika difailkan sedemikian merupakan satu penyalahgunaan dan mempermainkan proses mahkamah,” kata surat tersebut.

Sehubungan itu, firma guaman terbabit menyatakan, mereka telah mendapat arahan untuk meneruskan saman terhadap Anwar.

Pada 21 Julai lalu, Anwar menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin menuntut bekas Perdana Menteri itu memohon maaf dan membayar ganti rugi kerana memfitnahnya berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Berdasarkan surat tersebut, Anwar mendakwa Muhyiddin telah memfitnahnya apabila mengeluarkan kenyataan media bahawa Presiden PKR itu tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam tempoh yang diberikan.

Selain permohonan maaf dan ganti rugi RM200 juta, Anwar turut menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutannya dan kesemua kenyataan yang dikatakan fitnah serta membayar kos guaman Anwar.

Sekiranya Muhyiddin gagal berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, satu tindakan saman akan dibuat terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Pada 18 Julai lalu, Muhyiddin menghantar surat tuntutan terhadap Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.

Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya