Tiada satu sen pun saya, keluarga ambil duit 1MDB - Zeti - Utusan Malaysia

Tiada satu sen pun saya, keluarga ambil duit 1MDB – Zeti

ZETI Akhtar Aziz tiba di mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB melibatkan Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Tiada sesiapa dalam keluarga saya menerima atau mengambil duit 1MDB. Tidak satu sen pun”.

Itu penegasan yang dibuat oleh bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz selepas ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib sama ada beliau atau dalam kalangan ahli keluarganya yang menerima faedah daripada penyelewengan dana RM2.28 milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, Zeti mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbohong apabila menyatakan beliau mengetahui mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Presiden UMNO itu.

Media sebelum ini melaporkan Polis Singapura pernah memaklumkan kepada BNM berhubung transaksi mencurigakan daripada Jho Low kepada syarikat milik suami dan anak lelaki Zeti ketika wanita itu masih menjadi gabenor bank tersebut.

Sehubungan itu, pihak pembelaan mewakili Najib telah beberapa kali cuba mendapatkan dokumen perbankan yang dikatakan melibatkan transaksi penerimaan wang oleh ahli keluarga Zeti daripada Jho Low.

Dokumen-dokumen tersebut ialah beberapa pernyataan perbankan daripada syarikat-syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd.

Terdahulu, Zeti memberitahu, Najib pernah memanggilnya ke pejabat Perdana Menteri pada 3 Julai 2015.

Pada pertemuan itu, Najib telah meminta Zeti untuk mengeluarkan kenyataan bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak pernah membuat sebarang kesalahan berkaitan transaksi membabitkan akaunnya.

“Saya maklumkan kepadanya yang saya tidak boleh berbuat demikian. Beliau menerima keputusan saya. Tidak lama selepas pertemuan terbabit, saya menerima panggilan daripada seorang Menteri Kabinet yang meminta saya membuat perkara serupa.

“Saya berikan jawapan yang sama kepadanya (Menteri Kabinet) bahawa saya tidak boleh membuat kenyataan tersebut kerana saya tidak mengetahui apa yang berlaku dalam akaunnya,” kata Zeti dalam pernyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini.

Bagaimanapun pada 2 Julai 2018, Najib dalam satu temu bual dengan portal berita mendakwa bahawa Zeti mengetahui mengenai kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu dan wanita terbabit tidak mempertikaikannya.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang transaksi yang berlaku membabitkan akaunnya pada masa tersebut. Semua pemegang akaun di dalam sistem kewangan negara adalah dilindungi oleh peruntukan undang-undang membabitkan kerahsian.

“Tiada siapa boleh mempunyai akses kepada mana-mana akaun kecuali sekiranya institusi kewangan mengesan aktiviti yang meragukan dalam sesuatu akaun dan melaporkannya kepada BNM,” katanya.

Oleh itu, Zeti menyatakan bahawa dakwaan Najib bahawa beliau mengetahui mengenai transaksi tersebut adalah satu pembohongan.

Malah, AmBank juga tidak pernah melaporkan kepada BNM lebih 500 transaksi meragukan berkaitan akaun tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya