Terowong dasar laut: CZBUCG terima RM74.8 juta bagi pindah milik tanah - Utusan Malaysia

Terowong dasar laut: CZBUCG terima RM74.8 juta bagi pindah milik tanah

LIM Guan Eng tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) menerima RM74.8 juta daripada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd. bagi proses pindah milik tanah melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Bayaran pertama sebanyak RM12.5 juta dijelaskan pada 18 November 2013 manakala bayaran terakhir sebanyak RM5 juta diselesaikan pada 30 Mac 2015 melibatkan dua lot tanah di Bandar Tanjong Pinang.

Bekas Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Pulau Pinang Datuk Akmar Omar, 63, bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai pengetahuan berhubung proses pembayaran tersebut.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan utama, saksi pendakwaan ke-35 itu berkata, sehingga dokumen akhir dikeluarkan pada 2016, tanah tersebut masih milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang meluluskan pemberimilikan tanah lot kepada CZBUCG sebagai ‘balasan’ kerja-kerja yang dilakukan berkaitan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu.

Bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata mesyuarat itu yang dipengerusikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang pada 11 Disember 2014 telah meluluskan pemberimilikan lot 702 di Bandar Tanjung Pinang, Daerah Timur Laut di negeri itu kepada syarikat berkenaan.

CZBUCG kemudian menamakan lot berkenaan kepada Ewein Zenith yang dimiliki Datuk Ewe Swee Kheng (mendiang) dan lot itu dibangunkan dengan projek mega dikenali City of Dreams.

Hock Seng berkata berdasarkan perjanjian awal dimeterai antara kerajaan negeri dan CZBUCG, syarikat itu berhak untuk menamakan Ewein Zenith sebagai pemilik tanah sebagai balasan kerja-kerja yang dilaksanakan CZBUCG.

Ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo pada prosiding hari ini, Akmar berkata, perjanjian awal di antara kerajaan negeri dan CZBUCG berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu, masih dalam batas undang-undang.

Saksi berkata, kerajaan negeri memberi perhatian dalam projek berkenaan kerana ia melibatkan pembangunan projek yang sangat besar.

Akmar turut bersetuju bahawa Pulau Pinang tidak pernah mempunyai projek terowong dan ia merupakan projek besar dan memerlukan perhatian khusus dan kebenaran khas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Khamis ini.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta.

Wang itu sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah CZBUCG.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya