MELAKA: Seorang ibu tunggal dan teman lelakinya direman tujun hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian anak lelaki wanita itu berusia tiga tahun yang mengalami kecederaan parah pada tengkorak dan perut, semalam.
Perintah reman sehingga 13 Julai ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman dan kedua-dua suspek berumur 24 dan 25 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh di sini dengan memakai pakaian lokap kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kanak-kanak lelaki itu dibawa oleh ibunya ke Zon Merah Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri pukul 6.50 pagi, semalam.
Beliau berkata, petugas kesihatan yang mengendalikan mangsa telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama satu jam 10 minit, namun tiada tindak balas ditunjukkan.
Ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi dan siasatan lanjut mendapati, terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala dan badan kanak-kanak itu.
“Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa telah dihantar oleh ibunya pada pukul 5.30 pagi ke rumah teman lelakinya di Cheng untuk berubat kerana muntah-muntah.
“Semalam lebih kurang pukul 6.20 pagi, ibu mangsa dihubungi teman lelakinya memberitahu mangsa telah terjatuh dan tidak sedarkan diri. Ibu mangsa kemudian mengambil anak dan teman lelakinya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Difahamkan, suspek lelaki bertindak menendang dan menekan perut mangsa secara agresif selepas mangsa dikatakan muntah atas sofa di rumahnya.
Impak perbuatan itu, mangsa disahkan mengalami head and abdominal injuries due to blunt force trauma yang mana tengkorak dan organ dalam perutnya pecah. – UTUSAN