'Saya rasa seperti mati, namun masih bernafas' - Utusan Malaysia

‘Saya rasa seperti mati, namun masih bernafas’

ISMAHALIL Hamzah menadah tangan mensyukuri keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Ketika dalam penjara, saya rasa seperti mati, namun masih bernafas. Tiada hubungan luar, namun Alhamdulillah, Allah SWT izinkan saya ‘bernyawa’ semula, pengalaman itu beri pengajaran yang cukup besar.

“Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya, hampir dua tahun saya dalam penjara. Hari ini saya dapat rasa kebebasan dan bertemu anak serta isteri.”

Demikian luah bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah, 50, sejurus dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.

Selain itu, Ismahalil turut lega kerana diberi peluang kedua bertemu ibunya Salbiah Mat Noor, 88, yang sedang sakit di Sepang, dekat sini.

Bekas penyampai radio itu ketika ditemui wakil media sejurus pembebasannya juga meluahkan kesyukuran kerana hajat mewalikan anak sulung perempuannya, Saidatul Nadiah akhirnya tercapai.

“Anak saya nak bernikah pada bulan 10 (Oktober). Alhamdulilah saya dapat jadi wali pada majlis pernikahan dia nanti. Mak saya sedang sakit dan saya nak berjumpa dengannya dulu.

“Berbekalkan semangat yang ada, radio ‘Bapakku FM’ akan dibuka semula, cuma beri sedikit masa, saya akan teruskan kembali sebagai penyampai radio” katanya.

Setelah sekian lama meringkuk di penjara, Ismahalil memohon diberi peluang untuk berehat selama sebulan sebelum memulakan semula tugas sebagai DJ.

Terdahulu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Ismahalil daripada pertuduhan mengedar kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad.

Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan berkenaan.

Pada 21 Februari 2022, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengedar dadah itu di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya