Rumah Bonda peroleh kebenaran cabar penutupan premis - Utusan Malaysia

Rumah Bonda peroleh kebenaran cabar penutupan premis

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (Rumah Bonda) berjaya memperoleh kebenaran untuk mencabar Tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan ke atas premis itu, dua tahun lalu.

Kebenaran itu diberikan oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai, Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said selepas membenarkan rayuan oleh rumah kebajikan itu.

Turut bersidang dalam panel terbabit ialah Hakim-Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

“Keputusan adalah sebulat suara. Terdapat merit dalam rayuan ini dan kami bersetuju bahawa isu tersebut perlu dibicarakan secara substantif. Kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi adalah dibenarkan,” kata Hakim Kamaludin ketika membacakan penghakiman ringkasnya.

Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos. Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Rumah Bonda diwakili peguam, Asiah Abd. Jalil manakala responden-responden iaitu Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir.

Rumah Bonda memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 15 November 2021 yang menolak permohonan semakan tersebut selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC).

Terdahulu ketika berhujah, Asiah berkata, terdapat bahaya berat sebelah yang nyata dalam tindakan JKM mengenakan perintah Lak tersebut.

Ini kerana, responden kedua yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merupakan individu sama yang membenarkan Lak dilakukan dan yang akan mendengar rayuan berhubung perintah sita itu.

Selain itu, pihak perayu dalam proses mendaftarkan Rumah Bonda sejak awal 2019 dan borang serta surat sokongan yang ditandatangani oleh responden pertama dan kedua untuk tujuan pendaftaran telah dihantar kepada JKM Wilayah Persekutuan.

“Pada masa itu, Jabatan Bomba telah meluluskan premis dan dua pihak lagi iaitu Jabatan Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menetapkan tarikh untuk membuat pemeriksaan.

“Namun, ketika itu negara mengalami pandemik Covid-19 menyukarkan dua agensi itu membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut yang kemudiannya telah disita,” kata Asiah yang turut memaklumkan tindakan Lak itu dibuat secara terburu-buru selepas lima hari kes Bella tular di media sosial pada 2021.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali dihukum penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan remaja Sindrom Down Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Sementara itu, Nur Idayu mengatakan, perintah Lak itu dikeluarkan selepas JKM Wilayah Persekutuan berbincang dengan Putrajaya.

“Putrajaya yang dinyatakan tidak semestinya bermaksud Menteri sebaliknya ia boleh jadi ibu pejabat JKM di Putrajaya. Tiada bukti menunjukkan penglibatan secara aktif oleh responden kedua dalam membuat keputusan untuk menyita rumah kebajikan itu.

“Lak dikenakan terhadap Rumah Bonda selepas ia didapati tidak berdaftar dan beroperasi secara haram. Walaupun ia dalam proses mendaftar, ia tetap dikira tidak mempunyai lesen untuk beroperasi,” kata Nur Idayu.

Pada 13 Ogos 2021, pertubuhan itu menerusi Siti Bainun memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar perintah Lak tersebut.

Permohonan itu antaranya mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan responden pertama (JKM) pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan melaksanakan tindakan itu pada 12 Julai 2021 ke atas premis Rumah Bonda adalah dipengaruhi oleh desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan penderaan terhadap kanak-kanak tersebut yang tular mulai 5 Julai 2021.

Siti Bainun mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penderaan itu, sedangkan remaja berkenaan tiada kaitan dan bukan penghuni rumah itu.

Remaja itu sebaliknya merupakan anak jagaan Siti Bainun yang diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 14 Julai 2021 kepada Siti Bainun atas kapasiti peribadi sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

Siti Bainun memohon suatu perintah deklarasi bahawa Rumah Bonda pada sepanjang masa material sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM dengan pengetahuan kedua-dua responden.

Pemohon juga memohon suatu perintah mandamus untuk mengarahkan kedua-dua responden melaksanakan serta-merta antaranya membuka lak terhadap rumah itu bagi membolehkan pemohon memasuki dan mengakses untuk menyambung semula proses dan prosedur yang berbaki dalam permohonan pendaftaran dengan JKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya