Rayuan petisyen pilihan raya Segamat tangguh 1 Ogos - Utusan Malaysia

Rayuan petisyen pilihan raya Segamat tangguh 1 Ogos

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M. Ramasamy mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Segamat ditangguhkan ke Selasa depan.

Ia selepas peguam yang mewakili calon BN itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah cuti sakit.

“Peguam utama bagi rayuan ini, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa beliau tidak sihat. Beliau mengalami serangan vertigo yang teruk sejak malam tadi.

“Pada perbicaraan kes 1MDB, Rabu lalu, perbicaraan juga dijalankan pada sebelah petang kerana pada pagi itu, Tan Sri tidak sihat,” jelas peguam Sarah Abishegam yang menyebut bagi pihak Muhammad Shafee.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Zabariah Mohd. Yusof yang bersidang bersama-sama Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan kemudian menetapkan pendengaran tersebut pada 1 Ogos ini.

Ramasamy merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 3 April lalu yang menolak petisyen pilihan rayanya bagi mencabar kemenangan calon Pakatan Harapan, R. Yuneswaran selepas membenarkan bantahan awal responden.

Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi pada November tahun lepas dan diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan itu, mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan dari Perikatan Nasional (PN) dan Syed Hairoul Faizey (Pejuang).

Dalam petisyennya, Ramasamy antara lain memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Hakim Mahkamah Tinggi Muar, Mohd. Radzi Abdul Hamid ketika membenarkan bantahan awal responden menyatakan, terdapat ketidakpatuhan terhadap keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Kata hakim itu, petisyen tidak seharusnya berdasarkan inferens dan andaian tetapi berdasarkan fakta sebenar serta material dan menambah bahawa petisyen Ramasamy tidak mempunyai fakta material yang jelas dan tepat.

Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk bahawa Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya