PKR hantar peguam pemerhati pantau kes Sanusi - Utusan Malaysia

PKR hantar peguam pemerhati pantau kes Sanusi

vincent tan saman sanusi
MUHAMMAD SANUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar peguam pemerhati bagi memantau pendakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini.

Peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi memaklumkan perkara tersebut ketika mengemukakan permohonan berkenaan.

Peguam Pemerhati adalah peguam yang bertindak bagi sesuatu pihak yang akan melaporkan status kes dan memberikan penjelasan kepada anak guam mereka serta memberikan nasihat-nasihat perundangan dan juga bantuan teknikal perundangan agar anak guam yang diwakili lebih memahami mengenai perjalanan kes atau guaman berkenaan.

“Saya telah mendapat arahan daripada anak guam saya (PKR) untuk hadir dan menjadi peguam pemerhati dalam kes ini. Ia berikutan kes ini membabitkan kepentingan awam. Permohonan ini telah dinyatakan kepada pihak pendakwaan dan pembelaaan,” katanya.

Ketika ditanya oleh Hakim Nor Rajiah Mat Zin sama ada peguam itu hanya akan menjadi peguam pemerhati bagi prosiding hari ini atau sehingga selesai, Asheeq Ali menjawab: “Sehingga kes selesai”.

Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terriruddin Mohd. Salleh yang mengetuai pasukan pendakwaan hari ini mengesahkan pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan.

Barisan pembelaan yang diketuai peguam bela, Datuk Shaharudin Ali juga tidak membantah terhadap permohonan tersebut tetapi memaklumkan bahawa pihaknya merasa terkilan.

“Saya telah diberitahu oleh peguam (Asheeq Ali) mengenai (hasratnya) untuk menjadi peguam pemerhati tetapi saya rasa terkilan apabila peguam menyatakan ia adalah demi kepentingan awam sedangkan ia jelas adalah bagi kepentingan PKR.

“Bagaimanapun saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan (untuk membenarkan permohonan peguam pemerhati),” kata Shaharudin.

Nor Rajiah membenarkan permohonan tersebut dan meminta Asheeq agar memaklumkan mahkamah dan membuat permohonan baharu sekiranya terdapat peguam lain yang akan hadir sebagai peguam pemerhati PKR.

Bagaimanapun ketika permohonan serupa dibuat di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd. Shalleh, hakim berkenaan meminta agar Asheeq Ali membuat permohonan itu secara bertulis.

“Untuk hari ini, saya tidak akan merekodkan kehadiran awak sebagai peguam pemerhati,” jelas Osman Affendi.

Terdahulu, Muhammad Sanusi didakwa atas dua pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut membabitkan pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan titah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Perbuatan yang boleh menimbulkan rasa tidak setia kepada mana-mana Raja di negara ini didakwa dilakukan pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini.

Kes akan disebut semula pada 4 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya