Pertuduhan komunikasi seksual terhadap Safiey Ilias cacat

Pertuduhan komunikasi seksual terhadap Safiey Ilias cacat – Peguam

SAFIEY Ilias hadir di Mahkamah Sesyen Ampang bagi perbicaraan berkaitan kes seksual terhadap dua remaja lelaki melalui Instagram. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang hari ini diberitahu, dua pertuduhan yang dihadapi oleh usahawan kosmetik, Safiey Ilias berkaitan komunikasi seksual terhadap dua remaja lelaki, cacat kerana tidak menyertakan butiran khusus yang menjadi asas pertuduhan yang dihadapinya.

Peguam Harjeet Singh Sidhu berkata, dua daripada empat pertuduhan itu cacat kerana tidak menjelaskan butir-butir komunikasi seksual yang didakwa berlaku antara tertuduh dengan kedua-dua remaja berkenaan. Hujah beliau, ketiadaan butiran khusus tersebut menyukarkan pihaknya menyoal balas saksi-saksi dan menyediakan pembelaan kelak kerana perkataan yang digunakan hanya secara am.

Selain itu, Harjeet berkata, pihak pendakwaan juga belum menyerahkan rakaman sesi perbualan sidang video secara langsung di Instagram serta rakaman daripada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) yang diambil daripada kedua-dua remaja berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memohon kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan diberi masa untuk mengemukakan penghujahan bertulis berhubung isu yang dibangkitkan.

“Pihak pembelaan memohon mahkamah mengeluarkan perintah terhadap isu yang dibangkitkan sebelum perbicaraan dimulakan. Saya tidak mahu timbul isu kelak mengapa perkara ini tidak dikemukakan pada peringkat awal,” ujarnya ketika membangkitkan bantahan awal secara lisan terhadap pertuduhan tersebut.

Hakim Norhazani Hamzah bagaimanapun mempersoal mengapa bantahan awal itu tidak dikemukakan pada pengurusan kes sebelum ini. Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis sebelum 7 Ogos ini dan pendengaran bantahan awal pada 16 Ogos. Keputusan pula ditetapkan pada 24 Ogos.

Beliau turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini hingga Khamis ini dan menetapkan tarikh baharu pada 4, 5 dan 11 September serta 2 Oktober. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Binti Mahmad Zulhasnan berkata, isu berhubung bantahan awal itu tidak dibangkitkan sebelum ini dan pihaknya juga tidak menerima notis bahawa ia akan dikemukakan ketika prosiding hari ini.

Oleh yang demikian, beliau memohon masa untuk mendapat arahan daripada Pengarah Pendakwaan Selangor dan menjawab bantahan awal tersebut. Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 29, didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual melalui platform Instagram dengan dua remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.

Usahawan kosmetik itu yang popular dengar lagu ‘Syinta Gila’ turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual. Safiey Ilias didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, pukul 9 pagi pada 9 Jun 2021.

Pada 15 Ogos 2022, Safiey Ilias hadir di mahkamah yang sama bagi sebutan kes atas dua pertuduhan melibatkan perlakuan berunsur seksual terhadap seorang pelajar lelaki melalui laman Instagram. Safiey Ilias hadir di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob selepas kesnya dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Putrajaya ke Ampang.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Seksyen itu membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes itu mendapat perhatian umum ekoran laporan polis dibuat oleh seorang pensyarah sebuah pusat pengajian tinggi pada 9 Jun 2021 selepas beliau bimbangkan aksi lucah yang dipamerkan oleh usahawan kosmetik itu. Safiey Ilias yang menggunakan akaun Instagram, ‘safieyilias94’, turut mempertontonkan cara menghisap vape atau rokok elektronik kepada remaja terbabit ketika sesi sidang video tersebut.

Laporan itu dibuat bertujuan menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan terhadap usahawan kontroversi itu yang menggunakan saluran Instagram Live miliknya sebagai platform untuk melakukan antunan seksual (sexual grooming) ke atas pengguna media sosial remaja. Sehari kemudian, usahawan kosmetik tersebut ditahan dan selanjutnya direman selama tiga hari sehingga 13 Jun 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya