Penyelia syarikat didakwa tipu warga emas

Penyelia syarikat didakwa tipu warga emas

K. Letchumanan diiringi polis tiba di Mahkamah Majistret Ampang bagi menghadapi pertuduhan menipu seorang pesara lelaki warga emas. -  UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang pesara lelaki warga emas dengan menyamar sebagai kontraktor Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berhubung penurapan jalan di hadapan rumahnya.

Bagaimanapun tertuduh K. Letchumanan, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, Letchumanan yang juga seorang penyelia sebuah syarikat didakwa telah memperdayakan Loh Min Leong, 70, bahawa tertuduh adalah pihak kontraktor MPAJ yang ingin membuat kerja turapan jalan.

Tertuduh didakwa mengetahui perkara itu tidak benar sehingga mangsa menyerahkan wang secara tunai sebanyak RM200. Kesalahan itu dilakukan di Kampung Ampang Indah di sini pukul 11 pagi pada 10 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Parkash Singh yang mewakili Letchumanan memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dengan pendapatan yang tidak tetap.

“Tertuduh bekerja sebagai seorang penyelia sebuah syarikat, sudah berkahwin dan menanggung isteri serta seorang anak yang belajar di kolej,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Normaizan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin. Mahkamah kemudian menetapkan 25 Ogos ini bagi sebutan kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam lelaki dipercayai terbabit dengan penipuan khidmat penurapan jalan di sekitar daerah Ampang. Suspek yang berusia 20 hingga 44 tahun itu mendakwa mereka adalah pekerja yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, suspek menawarkan perkhidmatan penurupan jalan di hadapan rumah dengan harga RM500.

“Polis menerima satu laporan dari mangsa pada 13 Julai lalu yang mendakwa ditipu kumpulan berkenaan. Mangsa yang percaya dengan tawaran kumpulan individu itu kemudian membayar wang pendahuluan sebanyak RM200. Bagaimanapun, tiada sebarang penurapan jalan dilakukan kumpulan lelaki terbabit selepas bayaran dilakukan,” kata Mohd. Azam dalam kenyataannya.

Tambah, Mohd. Azam, susulan laporan dibuat, sepasukan polis membuat serbuan semalam di sekitar Ampang dan berjaya menahan enam lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya