Pengusaha stesen minyak didenda manipulasi harga Panadol

Pengusaha stesen minyak didenda RM1,500 manipulasi harga Panadol

OKS (kanan) membayar denda selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka kerana memanipulasi harga produk kesihatan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengusaha sebuah stesen minyak didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memanipulasi harga produk ubatan, Januari lalu.

Majistret Nabilah Nizam mengenakan denda tersebut selepas orang kena saman (OKS), Mohd. Ashraf Mohd. Yusof, 33, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didapati telah memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga barangan Panadol Menstrual 10’s yang dipamerkan dengan harga RM5.40 yang mana berbeza daripada harga yang diimbas pada mesin pengimbas harga adalah RM7.20.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.15 pagi di kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Lebuh Ayer Keroh, Mukim Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Januari 2023.

Sabit kesalahan jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, OKS berdepan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau keduanya sekali, mengikut Seksyen 12 (1) (b) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (1) (b) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norhysam Mohd. Noor mencadangkan hukuman dan denda setimpal kerana barang yang diambil tindakan adalah produk kesihatan dan dianggap barangan keperluan.

OKS dalam rayuannya memohon denda minimum kerana melakukan kesalahan kali pertama dan kesilapan tanda harga itu disebabkan kecuaian pekerjanya, selain perlu menjaga dua anak seorang diri kerana isteri bertugas sebagai doktor pakar di Perak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar dan barang kes dikembalikan kepada pendakwaan untuk dilupuskan. OKS membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya