Pendakwaan serah baki dokumen kes rasuah Adam Radlan

Pendakwaan serah baki dokumen kes rasuah Adam Radlan

Adam Radlan Adam Muhammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan sudah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan pada perbicaraan kes ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang menghadapi lima pertuduhan rasuah berkaitan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sehubungan itu, dua Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 14 September ini bagi satu lagi sebutan kes untuk status penyerahan senarai saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadapi pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM2 juta. Di hadapan Hakim Suzana Hussin pula, Adam Radlan turut didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.1 juta dan dua pertuduhan lain iaitu menerima rasuah RM500,000 dan meminta rasuah iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek.

Pada prosiding hari ini, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat dan Maziah Mohaide hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Adam Radlan.

Ketika kedua-dua mahkamah bersidang, pasukan pendakwaan memaklumkan bahawa baki dokumen telah diberikan kepada pihak pembelaan manakala senarai saksi belum diserahkan. Sementara itu, Rajan Navaratnam mengesahkan pihaknya sudah menerima dokumen berkenaan.

Dalam pada itu, ketika kes disebut di hadapan Azura, TPR Maziah membangkitkan isu berhubung syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap awal bulan.

Ujar Maziah, Adam Radlan didapati gagal menghadirkan diri pada bulan ini dan memohon mahkamah memberi peringatan kepadanya supaya mematuhi syarat tambahan yang dikeluarkan.

“Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah menetapkan tarikh spesifik yang merujuk kepada tarikh pada setiap awal bulan yang ditetapkan sebelum ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Azura menetapkan agar Adam Radlan melapor diri di pejabat SPRM di antara 1 dan 7 haribulan, setiap bulan. Pada 29 Mei lalu, dua pertuduhan rasuah terhadap Adam Radlan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dipindahkan ke ibu negara untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan lain.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan, 42, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pertama meminta rasuah daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus nilai projek berkaitan Jana Wibawa.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa. Dia didakwa meminta rasuah di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021 manakala tuduhan menerima rasuah dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.

Pada 22 Februari pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. didakwa menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta. Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Mat Jusoh.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 dan 5 Januari lalu. Pada 28 Februari pula, Adam Radlan sekali lagi didakwa di sini atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta daripada individu bernama Lian Tan Chua.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta. Adam Radlan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya