Pembekalan kurma: Bekas Timbalan CEO EMGS bebas tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Pembekalan kurma: Bekas Timbalan CEO EMGS bebas tuduhan rasuah

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan salah guna kedudukan mendapatkan rasuah bagi pembekalan kurma untuk hadiah Ramadan.

Hakim Suzana Hussin memutuskan untuk tidak memanggil Wafiy Abd. Aziz untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapinya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes berkenaan.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, selain wang jaminan RM12,000 dikembalikan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu.

Mengikut pertuduhan, Wafiy didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan bayaran baucar EMGS bertarikh 3 Jun 2019 berjumlah RM12,175 kepada Mileeya Enterprise untuk membekalkan ‘Kurma For Ramadan Gift’ yang mana pemilik syarikat itu adalah saudaranya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 3 Jun 2019 di pejabat EMGS, Jalan Mayang Sari di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Seramai 24 orang saksi telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula Ogos 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya