Najib tarik balik rayuan berhubung larangan hadir Parlimen - Utusan Malaysia

Najib tarik balik rayuan berhubung larangan hadir Parlimen

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuannya berhubung keputusan mahkamah yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Parlimen tahun lalu.

Perkara itu disahkan peguamnya, Alaistair Brandah Norman ketika dihubungi media hari ini. Bagaimanapun tiada alasan diberikan berhubung penarikan rayuan itu. Notis pemberhentian tersebut difailkan pada 12 Julai lalu.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Pada 27 Oktober 2022, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan semakan tersebut atas alasan permohonan itu telah menjadi akademik selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober tahun sama.

Sehubungan itu, hakim itu menyatakan Najib tidak lagi tertakluk kepada tugas dan fungsi keperlembagaan termasuk mengakses pegawai Parlimennya dan menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid berpuas hati, Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu dan telah diwartakan, membawa maksud berakhirnya sidang Dewan Rakyat bagi penggal tersebut.

“Ini bermakna serta semua wakil rakyat tidak lagi bergelar Ahli Parlimen. Tidak mungkin pemohon (Najib) menjadi Ahli Parlimen kerana undang-undang menghalang seorang banduan bertanding dalam pilihan raya.

“Melainkan pengampunan (melalui Lembaga Pengampunan) diberikan atau sabitan dan hukuman diketepikan melalui permohonan semakan,” jelas beliau.

Hakim Ahmad Kamal menyatakan demikian ketika menolak permohonan Najib untuk kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang menghalangnya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Mahkamah tidak mengeluarkan perintah terhadap kos.

Najib memohon kebenaran mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara pada 28 September 2022 yang menolak permohonannya menghadiri sidang Parlimen atas alasan keselamatan.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 5 Oktober 2022, selain Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, Najib turut menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya