Najib, AmBank tidak pernah rujuk surat derma Arab kepada BNM - Utusan Malaysia

Najib, AmBank tidak pernah rujuk surat derma Arab kepada BNM

ZETI Akhtar Aziz tiba di mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB melibatkan Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan AmBank tidak pernah merujuk tiga keping surat berhubung derma Arab AS$100 juta kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika membacakan pernyataan saksinya berkata, sebaliknya surat-surat itu hanya ditemukan sewaktu serbuan BNM di bank berkenaan pada 6 Julai 2015.

“Antara dokumen yang dirampas ialah tiga lagi keping surat daripada Saud Abdulaziz Majid Al Saud yang dialamatkan kepada Datuk Seri Najib Razak bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014. Surat-surat ini tidak pernah dirujuk kepada BNM.

“AmBank dan Datuk Seri Najib tidak pernah merujuk surat-surat (derma Arab) ini kepada BNM. Selain itu, dua keping surat yang kononnya dihantar kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Ashok Ramamurthy juga ditemukan dalam serbuan itu.

“Tiada rekod yang menunjukkan surat-surat bertarikh 21 September 2012 dan 30 April 2013 telah dihantar oleh AmBank atau diterima oleh BNM. Fakta ini juga disahkan melalui interaksi di antara Abd. Rahman Abu Bakar dari BNM dan Tan Sri Azman Hashim daripada AmBank,” kata Zeti ketika membaca pernyataan itu dalam Bahasa Inggeris.

Surat oleh Ashok tersebut adalah berkenaan pembukaan tiga akaun Najib di AmBank.

Zeti menjelaskan, BNM hanya mengetahui mengenai tiga akaun tersebut kira-kira setahun enam bulan kemudian.

Terdahulu, bekas Gabenor wanita pertama BNM itu memaklumkan, pada 28 Januari 2011, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang pernah bertemunya dan memaklumkan bahawa Najib akan membuka akaun dengan AmIslamic Bank dan akaun terbabit akan ditujuk menggunakan kod khas dalam Sistem Pengurusan Ringgit Malaysia (ROMS).

Tiada perbincangan lanjut dilakukan berhubung perkara tersebut dan pertemuan dengan Tek Kuang juga adalah singkat.

“Tiada pada bila-bila masa, Tek Kuang memaklumkan bahawa terdapat derma akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut,” kata Zeti.

Kira-kira enam minggu selepas itu, Tek Kuang telah menghantar surat kepada TImbalan Gabenor, Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang turut menyertakan salinan surat daripada Saud Abdulaziz Majid Al Saud bertarikh 1 Februari 2011 yang dialamatkan kepada Najib.

“Bermula daripada surat Tek Kuang bertarikh 22 Mac 2011, tiada lagi maklumat berkait akaun Najib diberikan oleh AmBank. Tiada sebarang maklumat mengenai derma yang dimasukkan ke akaun Najib atau maklumat yang menyatakan dana tersebut adalah diragui atau tidak mengikut peraturan.

“Satu-satunya surat berkaitan akaun Najib adalah surat bertarikh 12 Disember 2014 daripada AmBank melalui Ashok yang dialamatkan kepada Timbalan Gabenor, Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang mendedahkan tiga akaun bernombor 2112022011880, 2112022011898, 2112022011906 dan terdapat 10 transaksi deposit membabitkan kira-kira RM4.3 juta,” katanya.

Dalam prosiding sama, Zeti menjelaskan, BNM tidak menjalankan pemantauan terhadap mana-mana akaun peribadi.

Tambahnya, tugas pemantauan itu perlu dilakukan oleh bank-bank komersial sebagai salah satu proses ketekunan wajar (due diligence) yang diperlukan dalam mematuhi dalam peruntukan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya